ISU pengangguran dalam kalangan graduan di Malaysia terus menjadi polemik berpanjangan.
Entah di mana silapnya, permasalahan lepasan universiti sukar mendapat pekerjaan sentiasa meledak menjadi topik yang tidak pernah jemu diperdebatkan.
Terdapat segelintir pihak menuding jari menyatakan golongan itu terlalu memilih kerja sehingga akhirnya yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran.
Bidasan graduan pula, tidak adil pukul rata memandangkan mereka sudah berusaha menghantar mungkin puluhan resume, namun sunyi sepi respons diterima.
Berpasak pada hakikat, setiap orang memerlukan pekerjaan demi kelangsungan hidup pada zaman yang dihimpit pelbagai kekalutan ekonomi ini apatah lagi graduan yang baru memulakan hidup.
Menurut Pensyarah Kanan Ekonomi dan Muamalat, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Mohammad Noorizuddin Nooh, dilema dihadapi anak muda lepasan universiti dalam mencari kerja adalah isu yang sangat relevan pada zaman sekarang.
“Memang perlu akui bahawa sekarang susah cari kerja. Persaingan sangat tinggi dan menyebabkan kekurangan peluang. Dengan bilangan lepasan universiti yang semakin meningkat, persaingan untuk mendapatkan pekerjaan menjadi lebih besar.
“Mungkin banyak jawatan tetapi ada yang memerlukan kelayakan seperti pengalaman yang mungkin tidak dimiliki graduan baru selain gaji yang ditawarkan seringkali tidak sepadan dengan kos hidup, terutamanya di bandar besar.
“Banyak jawatan yang menawarkan beban kerja yang tinggi dengan sedikit sokongan, menyebabkan stres dan keletihan,” katanya.
Bagaimanapun katanya, semuanya memerlukan proses, tiada manusia yang hidupnya terus berjaya tanpa bermula dari bawah.
Katanya, anak muda perlu bijak membuat keputusan dan bersedia menyesuaikan dengan keadaan semasa. Mencari pekerjaan bukan hanya tentang gaji semata-mata, tetapi pertumbuhan peribadi dan profesional.
“Saya faham memang banyak faktor membelenggu graduan tetapi mereka harus mencari pendekatan positif. Walaupun gaji ditawarkan mungkin rendah, pengalaman kerja boleh menjadi aset berharga untuk masa depan.
“Selain menanti tawaran pekerjaan, lepasan universiti perlu kreatif dalam mencari peluang, seperti freelancing atau internship. Usaha itu boleh membuka jalan kepada pekerjaan yang lebih baik,” ujarnya.
Tambah Noorizuddin, menerima sebarang pekerjaan dalam keadaan ekonomi yang sukar memang boleh menjadi pilihan tetapi penting untuk memastikan keputusan itu tidak mengorbankan matlamat kerjaya dan kesejahteraan.
“Walau terdesak, jangan terima kerja semberono. Kena tahu adakah pekerjaan tersebut relevan dengan bidang pengajian atau minat? Pekerjaan yang sesuai boleh membantu dalam membina kerjaya yang lebih baik di masa hadapan.
“Jika pekerjaan yang diterima terlalu membebankan, itu boleh menyebabkan stres dan burnout. Duit memang perlu tetapi pertimbangkan kesan pegangan kerja yang kurang sesuai itu terhadap kesejahteraan mental,” ujarnya.














