fbpx
Mohd. Azizat (kiri) bersama rakan-rakan badutnya merayu supaya diberi tempahan tambahan supaya mereka dapat menyekolahkan anak dan menyara keluarga masing-masing.

‘Saya jadi badut untuk tanggung keluarga’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Seorang bekas graduan Universiti Islam Antarabangsa (UIA) berdepan ujian penuh berliku apabila menjadi badut untuk mencari rezeki dan meneruskan kehidupan walaupun pernah berada di puncak kesenangan sebelum segalanya musnah akibat Covid-19.

Mohd. Azizat Zainal Abidin, 39, berkata, dia bukannya me­nyembunyikan segalanya di sebalik topeng, wajah ceria dan gelak tawa ketika bersama kanak-kanak tetapi merupakan cabang seni yang menuntut disiplin, kreativiti dan ketahanan emosi.

Dia yang dikenali sebagai Mr. Chibi berkata, apa yang diperlukan ketika ini ialah tempahan tambahan untuk menampung per­belanjaan awak sulungnya, Qawi Al Amin untuk masuk ke tingkatan satu di sebuah sekolah berasrama penuh di Ipoh, Perak tahun depan.

Katanya, dia perlu kumpul sebanyak RM2,000 meman­dangkan anaknya seorang yang cemerlang, ketua pengawas dan tokoh murid sehingga orang me­nyangkakan dia seorang guru atau pensyarah dan tidak percaya kerjayanya seorang badut.

“Saya tidak mahu anak-anak susah. Kalau dapat pintal belon hari-hari sampai tangan saya bengkak pun tak apa janji anak saya dapat masuk asrama. Tempahan tambahan amat penting kerana saya juga perlu menanggung keperluan sekolah rendah buat dua lagi anak tahun satu dan lima,” katanya.

Menurut Mohd. Azizat, dia tidak mahu menerima derma dan hanya ingin orang ramai mencadangkan mana-mana acara atau pihak yang memerlukan ­khidmat badut bagi membo­lehkannya menambah pendapatan.

Bagaimanapun tambah­nya, dia tidak boleh mengambil tempahan di luar Manjung, Perak kerana tidak mampu berjalan jauh ekoran masalah kesihatan.

“Saya jadi badut kerana gemar menghiburkan orang dengan lawak jenaka,” kata graduan Sarjana Muda Seni Gunaan & Reka Bentuk (Kepujian) dengan Major Reka Bentuk Perindustrian UIA itu.
.

Mohd. Azizat merasakan segala payah, beban dan tekanan yang dihidapinya akan hilang sebaik memakai kostum badut selain dikelilingi wajah ceria serta tawa riang kanak-kanak.

Mengimbau keadaan sebelum menjadi badut, Mohd. Aizat memberitahu, dia mula bekerja sebagai arkitek di Kuala Lumpur sebelum pulang ke kampung di Manjung atas faktor keluarga selepas tamat pengajian.

“Saya kemudian membuka syarikat sendiri berteraskan industri majlis dan parti termasuk jualan barangan parti serta belon selepas berkahwin dengan Fatimatuz Zuhrah Ahmad Shuhaili yang kini bekerja sebagai pentadbir di sebuah syarikat swasta,” katanya.

Menurut Mohd. Aizat, kehidupan yang agak baik berubah apabila dia terpaksa menutup kedai selepas dunia diserang Covid-19 hingga mengakibatkan industri acara merudum.

“Ketika itu saya amat tertekan kerana perlu menanggung hutang, sewa kedai dan lain-lain sehingga saya didiagnos penyakit mental, gangguan bipolar. Sehingga kini saya masih mendapatkan rawatan berterusan,” katanya.

Tambahnya, selain itu dia turut menghidap batu karang dan resdung yang serius sehingga terpaksa menjalani pembedahan.

“Paling jauh saya boleh pergi Ipoh atau Teluk Intan. Sekarang ini permintaan badut amat perlahan tidak seperti dulu,” katanya.

Ujar Mohd. Aizat, ada sesete­ngah pihak fikir bayar maskot atau aiskrim untuk pelengkap majlis tetapi sebenarnya badut merupakan seni yang membawa watak dan emosi.

“Melihat senyum tawa kanak-kanak membolehkan saya lari daripada du­nia sebenar dan terapi untuk mengubati segala penat lelah mencari rezeki apabila berdepan tekanan harian,” katanya.

Menurut Mohd. Aizat, anak-anaknya juga tidak malu dengan kerjayanya dan sering meneman serta membantunya ketika bertugas.

Mohd. Azizat juga berharap masyarakat terus melihat profesion badut dengan perspektif lebih terbuka, bukan sekadar kerjaya yang dipandang rendah atau pilihan terakhir dalam mencari rezeki.

“Badut ni bukan hina. Kita seniman. Kita bantu majlis jadi hidup, buat orang ketawa. Saya buat badut ni memang minat dan keperluan mendesak, ia adalah kemahiran saya.

“Kerjaya ni sama macam pe­nyanyi, salah satu bidang seni,” katanya.

Orang ramai yang mahu menempah khidmat badut Mohd. Azizat boleh menghubunginya di talian 013-5841609.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN