fbpx

Warga emas ditinggalkan tepi jalan selepas ditipu RM10,000

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

KUANTAN – Dua lelaki tidak berhati perut apabila tergamak meninggalkan seorang warga emas berusia 78 tahun ditepi jalan kira-kira 33 kilometer dari rumahnya dan melarikan wang tunai RM10,000 milik mangsa.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Pahang, Superintendan Mohd. Wazir Mohd. Yusof berkata, suspek datang ke rumah mangsa di Kampung Baru Sungai Ling, dekat Chenor, Maran, kira-kira pukul 10.30 pagi semalam.

“Suspek mengatakan mereka datang dari Terengganu dan mahu menyewa tapak tanah di hadapan rumah mangsa selama tiga bulan berjumlah RM27,000 bagi tujuan membuat kerja pencawang Telekom.

“Suspek turut menunjukkan satu cek bernilai RM27,000 kepada mangsa bagi meyakinkan warga emas berkenaan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Katanya, mangsa tertarik dan bersetuju dengan tawaran berkenaan sebelum suspek membawa mangsa menaiki kenderaan mereka ke bank di bandar Temerloh kira-kira 33 kilometer dari rumah mangsa.

Katanya, suspek kemudiannya mengarahkan mangsa membuat pengeluaran sebanyak RM10,000 dengan alasan sekiranya terlalu banyak wang dalam akaun mangsa akan menyukarkan mereka untuk masukkan wang sewa tapak sebanyak RM27,000.

“Setelah selesai mengeluarkan wang terbabit, salah seorang daripada suspek telah mengambil wang milik mangsa itu dan mengatakan wang tersebut akan dimasukkan kedalam akaun mangsa yang lain.

“Suspek meminta mangsa menunggu di hadapan sebuah bank di bandar Temerloh dan berjanji akan datang mengambil semula mangsa selepas selesai urusan berkenaan namun selepas setengah jam menunggu, suspek masih tidak muncul.

Ujarnya, mangsa berasa tertipu dan hadir ke balai polis untuk membuat laporan berhubung kejadian itu. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI