PUTRAJAYA – Jabatan Alam Sekitar (JAS) merekodkan kenaikan sebanyak 202.2 peratus bagi pembuangan sisa klinikal pada Ogos lalu dan merupakan jumlah tertinggi sejak Disember 2019.
Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) dalam satu kenyataan berkata, penyumbang utama kepada peningkatan sisa klinikal itu adalah dari Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) di seluruh negara.
Ia meliputi sisa lebihan makanan dan bekas-bekas makanan yang digunakan pesakit-pesakit Covid-19 yang dikategorikan sebagai bahan buangan berjangkit oleh Kementerian Kesihatan (KKM).
“Pakaian perlindungan diri (PPE) yang dipakai petugas kesihatan, bekas-bekas polistirena yang digunakan untuk mengisi sampel calitan ujian Reverse Transcription Polymerase Chain Reaction (RT-PCR), buangan sampel ujian RT-PCR diklasifikasikan sebagai sisa klinikal.
“Bagaimanapun, sisa makanan dan bekas-bekas makanan diklasifikasi semula sebagai sisa umum melalui surat Ketua Pengarah Kesihatan bertarikh 15 September lalu,” katanya di sini baru-baru ini.
Antara sisa klinikal lain adalah jarum pencucuk vaksin, picagari, selain cecair badan serta organ dan lain-lain yang dihasilkan daripada rawatan pesakit di fasiliti kesihatan.
KASA memberitahu, kuantiti sisa klinikal bagaimanapun mula menunjukkan penurunan apabila pengkelasan semula sisa dibuat oleh KKM selain penutupan pusat pemberian vaksin secara berperingkat.
“Ini dibuktikan apabila kuantiti sisa klinikal menurun kepada 155.6 peratus pada bulan lalu,” katanya.
Menurut kenyataan itu lagi, sisa klinikal perlu dilupuskan mengikut kaedah yang tepat kerana virus Covid-19 mempunyai jangka hayat.
Jelasnya, sekiranya tidak diuruskan dengan baik, penyebaran virus di fasiliti-fasiliti vaksin akan berlaku dan petugas yang pengendali sisa klinikal akan terdedah kepada jangkitan virus berjangkit tersebut.
Pada masa sama, KASA menegaskan, lambakan sisa klinikal bukan disebabkan buangan tidak diuruskan dengan baik, sebaliknya sisa klinikal meningkat melebihi kapasiti teknologi pelupusan di premis yang dilesenkan.
JAS mengambil langkah mengetengahkan isu itu sebelum KKM mengkelaskan semula sisa lebihan makanan dan bekas makanan di PKRC kepada sisa umum.
“Selain itu, JAS memberi kebenaran sementara bagi Syarikat Konsesi Perkhidmatan Sokongan Hospital lantikan oleh kerajaan yang dikawal selia KKM bagi memasang insinerator mudah alih.
“Ia bagi menyegerakan pelupusan lambakan sisa klinikal di samping menguji keberkesanan penggunaannya kaedah rawatan terma tersebut.
“Langkah ini diambil bagi memastikan pengurusan sisa klinikal diuruskan dengan lebih baik dan tidak menimbulkan apa-apa risiko terhadap kesihatan dan keselamatan awam,” katanya.-K! ONLINE














