fbpx

Dahulu indah, kini dipenuhi sampah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SAMPAH sarap yang dibiarkan berselerak di kawasan Pantai Batu Layar, Kota Tinggi kelmarin.

KOTA TINGGI – Peningkatan kehadiran pengunjung sehingga tiga kali ganda di Pantai Batu Layar sejak kebelakangan ini menyaksikan berlakunya pertambahan jumlah sampah yang memenuhi hampir sekitar kawasan pelancongan terbabit.

Pegawai Daerah Kota Tinggi, Hazlina Jalil berkata, pantai sepanjang 1.85 kilometer itu me­rupakan salah satu pantai popular dan destinasi pelancongan di daerah ini dan diselenggara oleh pihak Majlis Perbandaran Pengerang (MPP), Jabatan Peng­airan Saliran (JPS) selain ada kawasan yang mempunyai hak ­milik persendirian.

Katanya, Pantai Batu Layar menjadi tumpuan pengunjung terutama pada cuti hujung ming­gu dan hari kelepasan am terutama sejak peralihan negeri berkenaan ke Fasa Tiga Pelan Pemulihan Negara (PPN) dan kebenaran rentas negeri.

“Kehadiran pengunjung yang terlalu ramai menyebabkan berlakunya peningkatan jumlah sampah di sekitar kawasan Pantai Batu Layar dan tong-tong sampah yang sedia ada juga tidak mencukupi.

“Lebih menyedihkan apabila ada pengunjung yang membuang sampah merata-rata sehingga menjejaskan keindahan pantai ini,” katanya ketika ditemui di sini semalam.

Bagaimanapun kata beliau, beberapa langkah telah dan akan diambil bagi mengatasi masalah tersebut termasuk menambah bilangan tong-tong sampah di beberapa kawasan strategik.

“Selain itu, aktiviti pembersihan juga akan kerap dilakukan di kawasan berkaitan selain me­ningkatkan kesedaran sivik dalam kalangan pengunjung.

“Memandangkan Pantai Batu Layar merupakan kawasan tumpuan umum, beberapa program berbentuk komuniti prihatin seperti Program Pembersihan Pantai (Beach Clean Up) turut akan dilaksanakan,” ujarnya.

Jelasnya, usaha berkenaan dilakukan bersama sukarelawan dan penduduk terutamanya pemilik tanah berhampiran de­ngan aktiviti pembersihan pantai, jalinan kerjasama dengan pertubuhan bukan kerajaan yang ber­orientasikan kebersihan untuk mempromosikan kepentingan pembersihan pantai.

Terdahulu, Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim menerusi ciapan di Twitter HRH Crown Prince of Johor meminta laporan penuh daripada pejabat daerah dan akan memastikan pegawai daerah mengambil tindakan sewajarnya bagi masalah itu.

Ciapan tersebut sebagai respon balas kepada Twitter seorang pengguna, AsyikinMustaff1 yang memaklumkan kepada baginda berkenaan keadaan Pantai Batu Layar yang dipenuhi sampah sarap ekoran tindakan pengunjung yang tidak bertanggungjawab. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI