fbpx

Lakar kejutan, Malaysia mara ke separuh akhir

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SKUAD badminton negara melakar kejutan terbesar apabila melangkah ke separuh akhir pada kejohanan Piala Sudirman 2021 di Vantaa, Finland selepas menewaskan musuh tradisi, Indonesia 3-2 awal pagi tadi.

Kejayaan ini merupakan pencapaian kedua Malaysia mara ke separuh akhir dalam kejohanan berprestij itu selepas kali terakhir melakukannya pada edisi 2009 yang berlangsung di Guangzhou, China.

Pengarah Kejurulatihan Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Wong Choong Hann tidak dapat membendung perasaan gembira selepas menyaksikan anak-anak buahnya berjaya melepasi sasaran suku akhir yang ditetapkan sebelum ini.

“Sudah tentu saya sangat bangga dengan prestasi yang ditampilkan oleh semua pemain pada hari ini. Setakat ini kami bermain dengan baik dan sudah tentu kami dahagakan lebih banyak kejayaan.

“Untuk aksi bertemu Jepun esok (malam ini), kami akan anggap ia sebagai perlawanan baharu dan semua pemain perlu berikan segala-galanya bagi mengutip mata dalam setiap acara,” katanya sejurus tamat perlawanan.

Pada aksi suku akhir yang berlangsung di Energia Areena itu, Malaysia bermula dengan langkah kanan menerusi beregu lelaki, Aaron Chia-Soh Wooi Yik yang menewaskan jaguh No.1 dunia, Marcus Fernaldi Gideon-Kevin Sanjaya Sukamuljo 21-12, 21-15.

Bagaimanapun, Indonesia kembali menyamakan kedudukan 1-1 menerusi perseorangan wanita, Gregoria Mariska Tunjung yang menewaskan S. Kisona dalam aksi tiga set 22-20, 18-21, 21-19.

Perseorangan lelaki No.1 negara, Lee Zii Jia kembali meletakkan Malaysia 2-1 di depan selepas menang 21-11, 21-16 ke atas Anthony Ginting sebelum beregu wanita, Pearly Tan-M. Thinaah akur dengan kekalahan 20-22, 21-17, 18-21 kepada Greysia Polii-Apriyani Rahayu.

Kemudian, beregu campuran, Hoo Pang Ron-Cheah Yee See menjadi wira pasukan negara apabila menghadiahkan mata kemenangan selepas menewaskan Praveen Jordan-Melati Daeva Oktavianti 21-19, 9-21, 21-16, sekali gus menempah aksi separuh akhir menentang Jepun malam ini. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI