fbpx

Aplikasi Telegram digodam, scammer pinjam wang daripada kenalan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
KHAIRUDDIN menunjukkan laporan polis selepas aplikasi Telegramnya telah digodam oleh individu yang tidak bertanggungjawab. FOTO ROSLIZA MOHAMED

KOTA BHARU – Seorang peniaga kedai makan tidak menyangka aplikasi Telegram pada telefon pintarnya digodam oleh pihak tertentu yang meminjam wang daripada kenalannya sejak beberapa hari lalu.

Menurut Khairuddin Ismail,48, berkata, ekoran kejadian itu, beberapa rakannya mendakwa telah memindahkan wang ke akaun bank atas nama Fatin Nadhirah Mat Sah dan Jalaludin dengan jumlah keseluruhan melebihi RM9,000.

Menurutnya, dia menyedari akaun Telegram digodam selepas dihubungi rakan ketika berada di rumahnya di Ketereh di sini pada pukul 10.45 pagi kelmarin.

“Seorang rakan menghubungi saya dan bertanya sama ada mahu meminjam wang atau tidak. Saya terkejut dan menafikan mahu meminjam wang daripadanya.

“Selepas itu, ada beberapa orang rakan lain memaklumkan bahawa mereka ada dihubungi oleh akaun Telegram menggunakan nama dan profil gambar saya melalui beberapa nombor telefon. Pada hakikatnya, saya tidak pernah menggunakan nombor itu,” katanya ketika ditemui Kosmo! hari ini.

Khairuddin yang merupakan pesara Pengarah Bahagian Perhubungan Awam Tentera Darat menegaskan bahawa dia tidak terlibat dalam kegiatan untuk meminjam wang daripada kenalannya sendiri menerusi aplikasi Telegram.

Ujarnya, dia merasa amat terkilan apabila ada individu menggunakan akaun Telegram untuk melakukan kegiatan penipuan yang melibatkan mangsa dalam kalangan rakan-rakannya.

Tambahnya, dia telah membuat laporan polis mengenai kejadian itu di Balai Polis Ketereh di sini kelmarin.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Kelantan, Superintendan Ahmad Azizul Mohamed ketika dihubungi mengesahkan polis menerima laporan mengenai kejadian itu daripada Khairuddin dan mangsa terlibat.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu. -K! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI