fbpx

TFC hormati reputasi Selangor FC

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SKUAD TFC perlu menampilkan corak permainan berbeza apabila bertemu Selangor FC pada aksi Piala Malaysia di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak malam ini.

Oleh TENGKU DANISH BAHRI TENGKU YUSOFF

PENGENDALI Terengganu FC (TFC), Mohd. Nafuzi Zain menyifatkan skuad Penyu akan turun sebagai pasukan bukan pilihan pada aksi Piala Malaysia bertemu Selangor di laman sendiri iaitu Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak malam ini.

Beliau berkata, skuad Gergasi Merah memiliki tradisi yang perlu­ dihormati dalam kejohanan tertua di Asia tersebut selain turun dengan misi memburu kejuaraan ke-34 musim ini.

“Walaupun rekod memihak TFC dalam dua pertemuan Liga Super musim ini, pertemuan malam esok (ini) pastinya berbeza kerana Selangor dalam pres­tasi lebih baik kali ini.

“Mereka juga sudah sinonim bahkan pasukan pilihan pada saingan Piala Malaysia, namun TFC pasti akan memberi tentangan bagi kutip tiga mata di gelanggang sendiri,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di Kuala Terengganu semalam.

Mohd. Nafuzi berkata, beliau sedar prestasi Selangor juga sedang berada di kemuncak de­ngan menang enam perlawanan terakhir termasuk aksi pertama Piala Malaysia baru-baru ini.

Tambah Mohd. Nafuzi, kelibat penjaring terbanyak Liga Super, Ifedayo Olusegun pasti akan menjadikan aksi malam ini lebih sukar buat barisan pertahanan skuad Penyu.

“TFC perlu menampilkan corak permainan berbeza berbanding ketika mengalahkan Kuching City pada aksi pembukaan, Ahad lalu.

“Kami tidak bermain begitu baik pada aksi sulung Piala Malaysia. Pemain-pemain kelihatan terdesak menjaringkan gol dan tidak dapat mengawal per­mainan seperti kebiasaan,” katanya.

Mohd. Nafuzi tidak menolak kemungkinan akan melakukan sedikit perubahan dalam kese­belasan utama menentang Sela­ngor dengan harapan momentum kemenangan dapat diteruskan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI