GEORGE TOWN – Tabiat pemakanan yang melampau selain kurangnya melakukan aktiviti riadah di luar rumah menjadi antara punca ramai kalangan kanak-kanak mengalami masalah berat badan atau obesiti.
Situasi itu dipercayai berlaku kesan pelaksanaan beberapa siri Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebelum ini yang membataskan pergerakan kanak-kanak selain hanya tertumpu kepada pembelajaran secara online di rumah.
Bagaimanapun, perubahan ketara ke atas fizikal kanak-kanak itu telah menimbulkan kebimbangan dalam kalangan ibu bapa.
Seorang ibu yang juga peniaga makanan di Balik Pulau dikenali sebagai Nur, 40 berkata, dia mula berdepan kerisauan selepas melihat bentuk badan anak keduanya yang berusia 11 tahun semakin ‘montel’.
Katanya, perubahan saiz tubuh anak kedua daripada lima beradik itu kini semakin ketara apabila berat badan kanak-kanak itu telah mencecah 78.4 kilogram (kg) berbanding hanya 55kg sebelum ini.
“Bayangkan, dalam tempoh enam bulan sahaja, beratnya kini sudah 78.4kg iaitu naik mendadak lebih 20kg. Sedangkan kakak sulungnya dan tiga lagi adiknya mempunyai saiz badan kurus dengan berat yang ideal.
“Lihat cara dia makan, memang semua akan terkejut. Nasi menjadi hidangan wajibnya setiap hari dan dia akan menikmatinya sebanyak empat kali sehari sehingga ke tengah malam.
“Jika saya sediakan lauk atau hidangan kegemarannya seperti ayam goreng dan kari ikan, dia akan tambah lebih dua pinggan,” katanya ketika ditemui Kosmo! di kediaman mereka di Balik Pulau di sini baru-baru ini.

Menurut Nur lagi, dia dan suaminya kini buntu melihat keadaan anaknya itu jika dibandingkan dengan statusnya yang masih kanak-kanak.
“Berat saya pun baharu 75kg, jadi tidak dapat bayangkan dalam tempoh enam bulan akan datang iaitu ketika sesi persekolahan dibuka, berapa pula beratnya.
“Susah hati melihat keadaan saiz badannya yang mana semua pakai sekolah yang dibeli pada awal tahun ini sudah sendat dan tidak lagi boleh digunakan,” katanya.
Bagi seorang suri rumah dikenali sebagai Fizah, 45, berkata, dia turut berdepan masalah sama apabila anak bongsunya yang berusia 12 tahun kini mempunyai berat badan 76kg.
Jelasnya, rutin harian anak perempuannya itu hanyalah berada di dalam rumah dan sepenuh masanya dihabiskan dengan mengikuti sesi pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR), menyiapkan kerja sekolah, menelaah buku dan bermain gajet.
“Berat badan dilihat naik dengan ketara sejak Mac tahun lalu iaitu dari 56kg. Selera makannya juga semakin bertambah sejak belajar dari rumah.
“Bukan setakat itu, permintaan seleranya juga semakin meningkat dan sanggup tidur lewat semata-mata mahu menikmati hidangan yang diinginkan,” katanya.
Menurut Fizah, dia bagaimanapun tidak menolak kemungkinan saiz badan anaknya itu adalah disebabkan faktor genetik keluarganya.
Stres, kurang bergerak punca kanak-kanak jadi obesiti
GEORGE TOWN – Ibu bapa perlu memainkan peranan penting dalam menentukan gaya pemakanan anak-anak mereka agar mengambil makanan yang sihat serta kurang gula.
Pegawai Penyelidik Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), Hatijah Hashim berkata, terdapat beberapa punca berlakunya peningkatan berat badan anak-anak iaitu stres dan kurang pergerakkan harian bagi membendung penularan Covid-19.

Katanya, dianggarkan hampir 70 peratus kanak-kanak di negara ini berdepan masalah obesiti.
“Aktiviti harian yang terhad telah menjurus ke arah peningkatan berat badan yang melebihi kadar perubahan indeks jisim badan (BMI) bagi golongan tersebut terutama pelajar sekolah.
“Mereka mungkin mengalami stres disebabkan tidak boleh keluar rumah atau tiada aktiviti lain yang boleh dilakukan selain menghabiskan masa di dalam rumah sepanjang hari.
“Kurang bergerak juga antara faktor utama seorang kanak-kanak mengalami kenaikan berat badan berlebihan dan ditambah pula dengan pengambilan makanan yang tidak seimbang. Berbanding sebelum ini, mereka menggunakan tenaga untuk ke sekolah, naik dan turun tangga bas atau bangunan sekolah serta melakukan aktiviti jasmani.
“Melihat situasi ketika ini, cara mereka menenangkan fikiran hanyalah dengan menikmati pelbagai bentuk makanan tidak kira had masa. Mungkin ini juga satu cara mereka ‘bermain’.
“Umum mengetahui, meluangkan masa dengan bermain gajet sebenarnya tidak membantu kanak-kanak itu menguruskan berat badan malah akan meningkatkan lagi selera pemakanannya dan berat badan,” katanya kepada Kosmo! di sini.

Hatijah memberitahu lagi, pihaknya bimbang masalah obesiti dalam kalangan kanak-kanak akan memberi kesan terhadap masalah kesihatan iaitu ‘penyakit tiga serangkai’ seperti kencing manis, tekanan darah tinggi dan masalah jantung.
“Kita risau sekiranya mereka tidak berpeluang menikmati kehidupan alam remaja yang sihat dengan tahap kesihatan yang kurang memuaskan ketika di usia muda.
“Oleh demikian, ibu bapa seharusnya memainkan peranan penting dengan mengamalkan gaya pemakanan yang sihat serta kurang kalori dan gula.
“Cari ruang masa untuk bermain bersama anak-anak dan mengenengahkan konsep satu hari tanpa gajet termasuk menghadkan jumlah masakan atau pot beras dalam sehari,” jelasnya. -K! ONLINE














