fbpx
GAMBAR HIASAN / Getty Images

‘Perang’ belum tamat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
ARINA AZLAN
WARTAWAN EKSEKUTIF

BARU-BARU ini, tular satu kemas kini di media sosial milik petugas kesihatan yang membicarakan tentang pengalamannya mengendalikan kes kecemasan melibatkan dua kanak-kanak.

Perkongsian yang dibuat mungkin berkenaan impak buruk Covid-19 terhadap kanak-kanak.

Penulis ingin menekankan perkataan mungkin kerana dia sendiri yang menulis ‘I Supposed’ dalam perkongsiannya yang membawa makna doktor itu juga tidak pasti apa yang sebenarnya berlaku pada kanak-kanak itu.

Perkongsiannya memang terperinci tentang bagaimana anak kecil itu lemah anggota kaki dan tidak mampu berjalan selepas seluruh keluarganya mendapat jangkitan Covid-19.

Dia juga merayu-rayu agar ibu bapa tidak membawa anak mereka keluar rumah, pergi ke taman dan bersiar-siar di pusat beli-belah bagi mengelakkan situasi tersebut berulang.

Dalam sekelip mata, perkongsian itu disebar menerusi media sosial terutama dalam kalangan ibu yang sangat risau dengan apa yang dibaca mereka.

Penulis sedar, apa yang cuba dilakukan oleh doktor itu adalah untuk mengingatkan kepada kita semua bahawa kita masih berperang dengan Covid-19.

Namun apa yang penulis kurang bersetuju adalah penerapan elemen-elemen ‘scare mongering’ atau menakut-nakutkan dalam pesanan yang dititipkan.

Ada petugas barisan hadapan yang turut ‘bermurah hati’ berikan ‘teaser’ bagaimana seseorang itu diintubasi.

Dari sudut psikologi, ia tidak membantu masyarakat kita untuk mengadaptasi dengan kehidupan semasa pandemik.

Pegawai Psikologi Kanan Universiti Putra Malaysia, Siti Fatimah Abdul Ghani berkata, sesuatu peringatan perlu dibuat dalam keadaan tenang dan terkawal.

“Kita hendak menyampaikan sesuatu yang mempunyai daya penarik dan bukannya aura menolak, jadi elemen seperti menakut-nakutkan dan memberi amaran berlebihan boleh meningkatkan ketakutan.

“Sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan, rakyat berdepan dengan masalah tekanan perasaan yang serius. Penyampaian maklumat yang ‘mengugut’ seperti ini tidak membantu,” jelasnya.

Penulis suka melihat perkongsian Dr. Malar Santhi yang pernah tular di TikTok, Dr. Khairul Hafid melalui #MedTweetMy dan juga suami selebriti popular Ummi Nazeera, Dr. Izzar Anwari.

Perkongsian mereka mengajak masyarakat untuk berfikir dengan waras dan memberi contoh-contoh yang senang difahami serta tidak berdasarkan andaian semata-mata.

Selepas hampir dua tahun hidup dalam suasana pandemik, penulis pasti semua orang sudah letih dengan arahan PKP.

Jadi apabila kerajaan memberi kelonggaran, pastinya ada antara kita melihat ia seperti satu jalan keluar.

Namun penulis tidak mengatakan semua orang wajib bersetuju dengan cara ini kerana hidup adalah satu pilihan.

Pesohor media sosial, Mya Zulkifli juga ada menyentuh isu ini laman Instagramnya.

Katanya, masyarakat perlu tahu bahawa kesihatan mental anak-anak adalah sama penting dengan kesihatan tubuh badan.

“Semua orang berhak untuk bersetuju atau tidak bersetuju. Ada yang boleh pergi bercuti tetapi tidak mahu hantar anak ke sekolah. Ada yang tiada masalah sekolah dibuka tetapi masih khuatir bawa anak melancong.

“Jika anak anda okey untuk tidak keluar rumah selama dua tahun, maka teruskanlah. Jika anda rasa anak-anak perlu keluar sebentar dan menikmati sedikit kebebasan yang diberikan, tidak perlu jelaskan niat itu kepada sesiapa,” tulisnya lagi.

Suka atau tidak, inilah kehidupan norma baharu. Sama-samalah kita saling berpesan dengan cara berhemah mengingatkan diri sendiri bahawa peperangan Covid-19 belum tamat.

Vaksin hanya bertindak sebagai pelindung dan bukan memberi kekebalan. -K! ONLINE

BERITA BERKAITAN