CUKUP mengagumkan diorama miniatur yang dihasilkan Abang Jeff apabila mampu membentuknya menjadi drama sehingga puluhan episod.

Nostalgia kampung Abang Jeff dalam miniatur diorama

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

MENGGAMIT kembali nostalgia kampung halaman sekitar tahun 1960-an sehingga 1980-an membuatkan Ahmad Jafri Saiman, 53, bertekad untuk menghasilkan diorama berkisar perkampungan dan kisah silamnya.

Diorama tersebut diĀ­susun indah dengan miniatur seperti manusia, tumbuh-tumbuhan, rumah, kenderaan, peralatan, bangunan dan apa jua elemen berkaitan bagi menggambarkan kehidupan masyarakat pada ketika itu.

Dia berasa terpanggil untuk membina diorama kampung itu memandangkan tidak berpeluang merakam sebarang kenangan menggunakan kamera, maka ia merupakan salah satu caranya untuk mengabadikan nostalgia.

ā€œKeluarga saya tidak mampu membeli kamera kerana harganya begitu mahal dan hanya orang kaya yang mampu memiliki alat perakam gambar pada ketika itu.

ā€œOleh itu, saya ingin mencipta kembali kenangan dengan menggunakan diorama bagi menggambarkan kampung halaman yang turut diselitkan dengan imaginasi sendiri,ā€ katanya yang berasal dari Puchong, Selangor.Ahmad Jafri atau lebih dikenali sebagai Abang Jeff sebenarnya aktif melukis sejak usia 20 tahun, lantas sedikit sebanyak memudahkannya menghasilkan sebuah diorama kampung dengan sangat indah dan begitu teliti.

Jelasnya, melukis dan membuat diorama memerlukan imaginasi yang sangat tinggi, maka kedua-dua kemahiran itu digabung untuk menghasilkan sebuah karya hebat.

MELIHAT hasil pembuatan dioramanya yang halus dan teliti, tidak hairanlah karya-karya ini mampu dijual sehingga ribuan ringgit.

Walaupun bermula sebagai pelukis, tetapi Abang Jeff lebih tertarik dan berasa puas untuk menghasilkan karya diorama kerana ia mempunyai pandangan tiga dimensi sehingga boleh melihatnya dari pelbagai sudut.
Abang Jeff memberitahu, sebenarnya penghasilan diorama itu berlaku secara tidak sengaja lima tahun lalu ketika dia menyusun kenderaan kecil yang lengkap dengan rumah, pokok, jalan raya dan orang di atas sebuah meja sebagai pameran bagi menarik pelanggan.

ā€œApabila saya terpandang binaan miniatur itu membuatkan hati berasa sangat tertarik lantas ingin mencubanya membuat diorama secara serius.

ā€œKebetulan pula, saya turut menjual pelbagai perhiasan kenderaan yang bersaiz kecil termasuk aksesori dan orang,ā€ katanya yang turut mengusahakan kedai alat permainan kanak-kanak sejak 12 tahun lalu.

Bagi mendapatkan ilmu berkaitan pembinaan diorama, Abang Jeff telah mengambil inisiatif dengan mempelajarinya di Youtube dan membuat latihan lima hingga enam jam sehari selama tiga tahun.

Karya pertama yang dihasilkan oleh Abang Jeff ialah bertajuk Kampung Pasir Pekak iaitu membawa kisah percintaan di antara Aminah dan Abu.

Bagaikan sebuah drama rantaian, dia mengolah jalan cerita kampung tersebut sehingga episod 80 yang mana akhirnya Aminah dan Abu berkahwin.

PEMBUATAN miniaturnya begitu halus.

Secara keseluruhannya, Kampung Pasir Pekak yang bersaiz 8 kaki x 12 kaki itu mengambil masa selama 11 bulan untuk disiapkan.

ā€œKarya paling mahal yang pernah saya jual ialah Kampung Pasir Pekak iaitu bernilai RM35,000.

ā€œSelepas itu saya menghasilkan diorama bertajuk Kampung Nelayan yang mana mengambil masa tiga bulan untuk disiapkan dan pembuatannya sangat halus sehingga tular di luar negara pada tahun lalu,ā€ tuturnya yang juga merupakan kartunis dan penulis cerpen.

Selepas kejayaan membina Kampung Nelayan, Abang Jeff telah menghasilkan karya Kampung Setinggan yang mengambil masa sebulan untuk disiapkan.

Binaan Kampung Nelayan telah dijual pada harga RM6,000 manakala Kampung Setinggan pula pada harga RM3,000.

Tambahnya, kampung-kampung tersebut dibikin menggunakan 80 peratus imaginasi dan 20 peratus pengalaman sendiri.

Abang Jeff tidak menyangka penghasilan diorama yang pada mulanya sekadar hobi itu boleh memberi pulangan sangat lumayan.

NILAI bergotong-royong menyediakan masakan semasa kenduri di kampung turut diterapkan Abang Jeff dalam salah satu karyanya.

Kini, Abang Jeff terpaksa menghentikan seketika pembikinan diorama kampung bagi memberi laluan kepada diorama kubur yang mendapat permintaan sangat tinggi.

Pun begitu, walaupun dalam kesibukan pelbagai tugas lain, dia bakal menghasilkan diorama bertajuk Kampung Baru yang dijangka siap dalam tempoh setahun.

ā€œKampung Baru ini berkisar mengenai percintaan terhalang seorang anak muda yang miskin, sering diejek sehingga dia berusaha untuk keluar daripada kesempitan hidup itu dan akhirnya berjaya.

ā€œCerita diorama 80 episod ini merupakan kisah peribadi sendiri sehingga membolehkan saya menjiwainya dengan baik, selain turut diselitkan dengan elemen agama,ā€ tutur bapa kepada tiga orang cahaya mata itu.

Bercerita lanjut mengenai pembikinan diorama tersebut, Abang Jeff memberitahu, sebanyak 50 peratus bahan yang digunakan dibeli siap dan 50 peratus lagi adalah menggunakan kreativitinya sendiri.

Abang Jeff berkata, dia menggunakan pelbagai bahan semula jadi, alat tulis, bahan dapur serta yang terdapat di persekitaran untuk dijadikan sebagai bahan pembuatan diorama.

ā€œSebagai contoh, saya menggunakan kertas corrugated untuk menghasilkan zink atau atap dan mengolah warna yang sesuai supaya ia kelihatan sedikit berkarat agar kelihatan realistik.

ā€œSaya juga mencipta sendiri objek-objek yang lain dengan menggunakan kreativiti, misalnya daripada tanah liat, ranting pokok, serbuk teh dan batu bata untuk menjadikan diorama itu lebih realistik memandangkan tidak semua bahan ada dijual di kedai,ā€ ulasnya yang juga miliki pengikut dari Filipina, Vietnam, Indonesia dan Thailand.

Abang Jeff berkata, antara bahan asas dalam penghasilan diorama ialah gabus dan kayu balsa yang digunakan untuk membuat rumah, bangunan, jambatan serta pelbagai lagi. Bagi menghasilkan tekstur tanah, bukit dan gunung, dia menggunakan plaster of Paris serta tidak ketinggalan gam jenis PVA.

Menurutnya, diorama yang dihasilkan mampu bertahan sekitar 20 hingga 30 tahun jika dijaga dengan baik, diletakkan di dalam kaca dan tempat berbumbung.

Besar hasrat Abang Jeff untuk mewariskan kemahiran pembuatan diorama itu kepada anak-anaknya apabila bersara kelak.

Dia juga berhasrat mencipta bandar lama sebagai contoh, bandar Melaka atau Kuala Lumpur ketika tahun 1970-an dengan pembikinan yang lebih rumit dan halus.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

Ā 

TERKINI

BERITA BERKAITAN