fbpx

Bekas pengurus guna wang pelanggan beli jongkong emas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Seorang bekas pengurus perhubungan bank mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan pecah amanah deposit simpanan tetap seorang pelanggan berjumlah RM411,442.17 dengan membeli tujuh jongkong emas.

Mohd. Saibulrijal Mohd. Saad, 43, didakwa melakukan pecah amanah dengan membuat pengeluaran deposit simpanan tetap milik Choo Lai Hock, 63, dan memindahkannya ke dalam akaun semasa milik pelanggan sama.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu kemudian membeli tujuh jongkong emas seberat 1.5 kilogram bernilai RM376,110.72 untuk kegunaan sendiri tanpa pengetahuan dan kebenaran pelanggan tersebut.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah bank di pusat membeli belah di Bangsar, Brickfields di sini di antara pukul 8.52 pagi dan 4.50 petang, 6 September lalu.

Mohd. Saibulrijal didakwa mengikut Seksyen 408 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 14 tahun dan dengan sebat dan boleh juga dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Zulaaikha Mohd Apandi.

Hakim Datin Sabariah Othman membenarkan tertuduh diikat jamin RM30,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 27 Oktober ini untuk sebutan kes. – K! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI