fbpx

Berbulan terlantar di hospital, Izuan Fitri akhirnya dibenarkan pulang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SELEPAS berbulan dirawat di hospital, Izuan akhirnya dibenarkan pulang ke rumah pada Isnin lalu.

PETALING JAYA – “Penat dah duduk hospital berbulan, terseksa zahir batin. Kena cucuk, suntik sana sini dan akhirnya! Selamat adik pulang ke rumah.”

Demikian luahan ibu kepada pelakon remaja, Izuan Fitri iaitu Nor Abdul Rani sekali gus memaklumkan kepulangan anak lelakinya pada Isnin lalu setelah berbulan dirawat di hospital akibat jangkitan tibi.

“Adik dah balik. Semua diuruskan oleh kakak dan abang tanpa mama. Alhamdulillah Ya Allah, gembira adik kan. Mesti adik sangat riang ria dapat balik.

“Syukur, terima kasih Ya Allah. Terima kasih juga kepada semua. Doakan terus agar adik pulih sempurna seperti sedia kala,” tulisnya dalam Facebook.

Dalam hantaran berbeza, Nor berkongsi perkhabaran gembira apabila pertubuhan bukan kerajaan, Dana Rahmah memberi sumbangan berupa katil khas buat anaknya semalam.

“Terima Kasih Dana Rahmah kerana bersusah payah menghantar katil khas buat adik. Percuma atas segala pemberian, tenaga, kesulitan serta kesusahan.

“Semoga Allah melimpahkan rahmat-Nya untuk Dana Rahmah terus berjaya membantu setiap insan yang tiada berkeupayaan dan terus mekar mewangi. Terima kasih yang tidak terhingga daripada saya,” katanya.

Terdahulu, pelakon filem Crossroads: One Two Jaga itu terpaksa dimasukkan ke Hospital Selayang setelah tidak sedarkan diri sejak 31 Julai lalu selepas diserang sawan berikutan penyakit batuk kering yang dihidapi.

Keadaan dialami pelakon itu disebabkan kuman tibi atau batuk kering yang dideritai sejak dua tahun lalu sudah merebak sehingga menyerang bahagian otaknya.

Izuan kemudiannya dipindahkan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) dan selamat menjalani pembedahan pada otak di Hospital Kuala Lumpur dengan mengambil masa hampir lapan jam pada 5 Ogos lepas. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI