SEJAK dahulu lagi, penggemar fesyen terbaharu mudah terpengaruh dengan cara berpakaian selebriti terkemuka dunia.
Bagi mereka, itulah yang terbaik dan terkini untuk diperagakan walaupun tidak sedikit jumlah wang diperuntukkan untuk kelihatan bergaya seperti selebriti tersebut.
Dalam hal ini, tentunya ikon-ikon filem dan muzik seperti Zendaya, Victoria Becham dan Yuna yang selalunya menjadi inspirasi trend gaya wanita.
Sama ada kita sedar atau tidak, pelakon wanita utama filem dan pemuzik popular yang sering menjadi ikon fesyen kepada wanita berketerampilan hebat dalam setiap zaman.
——————————————————————————————————————-
Oleh FAIZAL HAMID
DEFINISI gaya untuk wanita sememangnya sedang melalui proses transformasi disebabkan perkembangan ekonomi yang pesat, hasil pendapatan berlebihan, susun atur gender serta kepesatan industri fesyen dan kosmetik yang berpusu-pusu mahu mengembang dan meluaskan lagi profil pelanggan mereka.
Namun begitu, malangnya, ramai juga wanita yang masih samar dalam pemilihan pakaian dan pembentukan gaya mereka secara keseluruhan.
Ini sememangnya bukan perkara baharu.
Dahulu, remaja perempuan belajar mengenai gaya daripada ibu mereka, kini tiada siapa yang mahu meniru gaya ibu mereka bukan?
Apa yang wanita perlukan adalah seorang mentor, seseorang yang boleh dijadikan panduan.
Di manakah mereka boleh menjumpai wanita yang gayanya cukup stylish dan sofistikated untuk dicontohi? Tentunya ikon-ikon filem dan muzik seperti Zendaya, Victoria Becham dan Yuna yang selalunya menjadi inspirasi trend gaya wanita.
1. Trend fesyen popular
Apabila kebanyakan kita memikirkan tentang wanita dengan gaya yang hebat, bukan supermodel yang terlebih dahulu berada di minda kita, tetapi sebaliknya bintang filem dan pemuzik.
Kini telah seabad muzik dan filem menjadi rekod atau dokumentasi yang jelas tentang trend fesyen yang popular dan menjadi ikutan.
Sama ada kita akui atau tidak, pelakon wanita utama filem dan pemuzik popular yang sering menjadi ikon fesyen kepada wanita berketerampilan hebat dalam setiap era.
2. Ekspresi watak
Selepas ini, anda mungkin perlu memberi penumpuan yang lebih sedikit tentang bagaimana cara pakaian dapat memberi ekspresi kepada watak kita.
Ini kerana, kita sememangnya boleh mengadaptasi apa-apa yang kita lihat dalam filem ke dalam kehidupan seharian seperti ketika kita beriadah, bersiap sedia untuk acara formal tempat kerja dan sebagainya.
3. Prinsip asas berpakaianÂ
Apapun, jangan lihat filem dan muzik sebagai sumber bagi semua jawapan untuk segala persoalan anda tentang gaya.
Seseorang juga tidak dengan mudah menjumpai suatu formula untuk berpakaian hebat.
Tiada seorang pun yang boleh menentukan cara yang paling tepat ataupun betul dalam berpakaian kerana gaya bukanlah sesuatu yang mutlak.
Apa yang pasti, kita boleh belajar untuk melihat filem dan memberi perhatian terhadap apa-apa yang dipakai oleh pelakon-pelakon dalam situasi tertentu. Daripada situlah kita boleh memperoleh dan mempelajari beberapa prinsip asas berpakaian.

4. Kebijaksanaan gaya
Untuk mendapat idea tentang gaya wanita hebat, tontoni saja filem klasik yang dilakonkan oleh legenda perfileman barat seperti Audrey Hepburn ataupun Grace Kelly yang secara tidak langsung dapat perbaiki kebijaksanaan gaya seseorang berpakaian.
Emma Stone, Jennifer Lawrence dan Blake Lively pula punyai penampilan dan perwatakan bersahaja yang menjadikan gaya mereka dicemburui ramai.
Cate Blanchett, Natalie Portman dan Nicole Kidman kesemuanya kelihatan hebat di dalam filem.
Salah satu kaedah bagi mereka melakonkan watak mereka dengan berkesan adalah dengan memilih koleksi kostum yang paling sesuai dengan watak tersebut.
5. Idea berpakaian
Pengalaman menonton filem sememangnya dapat memberikan wanita idea dan inspirasi untuk lebih arif dalam berpakaian.
Apa yang perlu hanyalah sedikit imaginasi untuk jadikan ia realiti.
Apapun pilihan kita nanti, seharusnya ia disesuaikan dengan cita rasa, gaya hidup, budaya dan identiti diri kita sendiri. Setuju?
———————————————————————————————————-
FAIZAL HAMID ialah Pensyarah Kanan Jabatan
Fesyen, Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka, Universiti Teknologi Mara, Shah Alam, Selangor.
















