JOHOR BAHRU – Polis mendedahkan lima penjawat awam merupakan antara mangsa diperdaya oleh sindiket yang mengugut untuk menyebarkan video lucah mereka sekiranya tidak membuat bayaran seperti dikehendaki.
Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, pihaknya telah menerima sebanyak 79 laporan sindiket penipuan melibatkan perbualan lucah secara panggilan video bersama wanita cantik sepanjang tahun ini.
Katanya, daripada jumlah itu, sebanyak 41 kertas siasatan telah dibuka dan memberkas dua individu sebelum dituduh di mahkamah. Bakinya masih dalam siasatan.
“Siasatan menunjukkan jumlah kerugian melibatkan RM104,139. Daripada 79 laporan, lima merupakan penjawat awam.
“Polis menasihati kaum lelaki yang baru berkenalan dengan mana-mana wanita supaya tidak bertindak melulu dan mudah tergoda dengan hantaran dan pujukan mereka,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Tambahnya, orang ramai yang membuat panggilan video melalui aplikasi WhatsApp tak perlu layan dan sebaiknya tamatkan sahaja komunikasi.














