fbpx

Kerjasama Nafas-Petronas berjaya tingkatkan pengeluaran padi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Nik Muhammad Zawawi (tengah) menaiki jentera menuai padi sebagai gimik menuai padi di Kg Namdam, Pendang.

PENDANG –  Program Pengurusan Tanaman Padi Bersepadu (PTPB) Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) – Petronas yang dilaksanakan secara projek rintis di Kampung Nam Dam di sini mampu memberi hasil pulangan yang baik kepada petani di negara ini.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan II, Dr. Nik Muhammad Zawawi Salleh berkata, seramai 68 pesawah terlibat dalam program tanaman itu yang membabitkan keluasannya 70 hektar yang bermula musim satu April lalu.

Katanya,  purata hasil pengumpulan bagi satu musim itu menunjukkan penghasilan sebanyak tujuh tan metrik per hektar melalui kaedah dan prosedur operasi standard (SOP) program itu berbanding 2.95 tan metrik pada musim sebelumnya.

“Kita mengharapkan program seumpama ini mampu menjadi model kepada semua petani terutamanya generasi muda yang mampu mengikuti teknologi pertanian ini supaya mereka cebur diri dan boleh melaksanakan projek penanaman padi berskala besar dalam negara kita,” katanya selepas merasmikan program itu.

Turut hadir pada perasmiaan itu ialah  Pengerusi Ahli Jemaah Pengarah Nafas, Datuk Zamri Yaakob dan Ketua Pegawai Pembuatan Petronas Chemicals Group Berhad Mohd Kabir Noordin.

Nik Muhammad  Zawawi  berkata, program ini seiring dengan matlamat kerajaan dalam meningkatkan hasil setiap hektar tanah, meningkatkan pendapatan petani dan seterusnya meningkatkan Tahap Sara Diri beras negara iaitu daripada 70 peratus ke 75 peratus.

“Saya berharap dan yakin  projek seumpama itu mampu diperluaskan lagi ke negeri lain yang membabitkan kawasan tanaman padi di negara ini  seperti  Kelantan, Terengganu, Perlis dan Pulau Pinang dengan mensasarkan keluasan 5,000 hektar keseluruhan,” katanya. – K! ONLINE

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, X (Twitter), Instagram, Youtube, & TikTok

TERKINI