fbpx

8 direman tiga hari, seorang dilepaskan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
LOKASI yang disyaki digunakan penjenayah alam sekitar untuk membuang sisa buangan terjadual yang terletak di sebuah depoh simpanan kenderaan berat di Jalan Seelong Jaya 3, Senai, Johor Bahru, Johor. - Foto RAJA JAAFAR ALI

JOHOR BAHRU – Lapan suspek yang disyaki terlibat dalam perbuatan membuang sisa buangan industri terjadual di dalam anak sungai dekat Kampung Baru Sri Aman, Kempas, di sini, kelmarin direman tiga hari bermula hari ini.

Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri Johor, Dr. Mohd. Famey Yusoff berkata, seorang lagi suspek yang ditahan semalam dilepaskan dengan jaminan polis setelah keterangannya direkodkan.

Beliau berkata, perintah reman itu dikeluarkan Penolong Pendaftar Kanan, Suhaila Shafi’uddin selepas JAS membuat permohonan tahanan reman pagi tadi.

“Lapan suspek termasuk pemilik premis yang disyaki terlibat dalam kejadian pembuangan sisa toksik yang mencemari Sungai Tawakal, Kempas, direman tiga hari sehingga Sabtu ini.

“Ia bagi membantu JAS Negeri Johor merakam keterangan kesemua suspek bagi melengkapkan kertas siasatan,” katanya kepada pemberita hari ini.

Kosmo! melaporkan seramai empat penduduk Kampung Baru Sri Aman mengalami sesak nafas manakala 128 lagi terpaksa dipindahkan berlakunya pencemaran bau yang terhasil daripada pembuangan sisa kimia yang mengalir ke sungai berhampiran.

Dalam kejadian kira-kira 10.30 malam, Selasa lalu, empat wanita berusia antara 22 hingga 49 tahun itu dikejarkan ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) dan Hospital Sultan Ismail (HSI) bagi mendapatkan rawatan susulan.

Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, dilaporkan berkata, seramai sembilan suspek terdiri daripada lima warga tempatan serta empat warga asing termasuk pemilik premis ditahan bagi membantu siasatan berhubung Insiden berkenaan.-K! ONLINE

 

Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:

MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI