PANDEMIK Covid-19 memberikan pendekatan dan norma baharu dalam semua aspek kehidupan manusia termasuk bekerja dari rumah (BDR).
Walaupun sesetengah orang pandang mudah amalan baharu BDR, sebenarnya ia adalah sesuatu yang kompleks bagi sesetengah orang memandangkan tidak ada peranan tugas yang jelas diberikan oleh pihak majikan.
Keadaan ini sudah pasti menyukarkan banyak pihak terutamanya wanita yang terpaksa melakukan kerja rumah pada masa sama. Jika ia tidak diberi penekanan sewajarnya, boleh menjejaskan emosi kakitangan yang berasa stres, bimbang, selain kecewa dianggap sebagai tidak produktif.
———————————————————————————————————————————————————————————————————————–
Oleh NOR HAFIZAH IBRAHIM
GELOMBANG pandemik Covid-19 telah merubah segenap aspek kehidupan manusia. Tidak kira kecil, besar, tua atau muda semuanya terkesan dek wabak yang membawa maut ini.
Pendek kata, banyak perkara perlu diubah dan diselarikan dengan keperluan norma baharu.
Kegagalan mengadaptasi perubahan dalam era pandemik bukan hanya mendatangkan risiko jangkitan, bahkan kita akan ketinggalan.
Tambahan pula, jika tiada inisiatif diambil untuk mendepani perubahan, maka tidak mustahil individu ataupun organisasi itu akan terkebelakang dan seterusnya menjadi tidak relevan.
Bekerja Dari Rumah (BDR) merupakan salah satu inisiatif perubahan yang diperkenalkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berkuat kuasa mulai 18 Mac 2020.
Tujuan utama BDR adalah untuk memastikan penyampaian perkhidmatan dapat diteruskan dalam tempoh pandemik, di samping mengekang penularan wabak dan kewujudan kluster baharu di tempat kerja.
Hakikatnya, sistem kerja baharu ini telah mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan pekerja. Mana tidaknya, boleh dikatakan hampir semua proses kerja yang dahulunya dilaksanakan secara fizikal terpaksa diubah kepada secara dalam talian.
Situasi itu turut menyebabkan perubahan ketara terhadap proses kerja yang adakalanya menjejaskan pelaksanaan tugasan.
Dalam hal ini, isu kekaburan peranan sering dikaitkan sebagai cabaran utama pelaksanaan tugasan BDR.
Hal ini berlaku apabila seseorang pekerja buntu untuk melaksanakan tugasan kerana tiada deskripsi tugas yang jelas.
Lebih merumitkan apabila pekerja tidak memperoleh maklumat jelas tentang apa yang diharapkan majikan.
Lantaran itu, pekerja menghadapi kesulitan dalam menentukan sasaran kerja atau Petunjuk Prestasi Utama (KPI) untuk tujuan pengukuran prestasi sepanjang tempoh BDR.
Dalam pada itu, kemudahan dan peralatan bekerja di rumah agak terhad dan ada ketikanya merencatkan penyampaian perkhidmatan.
Bukan itu sahaja, konsep penjarakan fizikal turut menyebabkan pekerja hilang tempat bergantung kerana tiada lagi interaksi secara langsung dengan penyelia dan rakan setugas.
Justeru, tuntutan bekerja sendirian dalam suasana berbeza, mengikut cara kerja baharu mengakibatkan segelintir pekerja semakin kabur tentang peranan dan hala tuju mereka.

Impak kekaburan peranan ini juga bukan sembarangan. Ia boleh menjejaskan kesejahteraan emosi seperti rasa bersalah, stres dan bimbang.
Perasaan kecewa juga akan timbul kerana pekerja sering dianggap sebagai tidak produktif.
Lama-kelamaan motivasi kerja mula berkurangan dan prestasi kerja merudum. Akhirnya, situasi ini akan memberi kesan negatif terhadap produktiviti sesebuah organisasi.
Menyedari hakikat di atas, maka inisiatif yang sewajarnya perlu dilaksanakan.
Antaranya melalui penyusunan semula fungsi jawatan dengan pewujudan deskripsi tugas baharu.
Di samping itu, pengkelasan pekerja mengikut kategori tugasan juga penting kerana terdapat sebilangan pekerja yang terlibat dengan aktiviti operasi dan tugasan lapangan.
Pekerja dalam kategori ini tidak sesuai untuk melaksanakan tugasan BDR kerana kerja mereka bersifat fizikal atau memerlukan interaksi bersemuka.
Oleh yang demikian, pekerja terlibat boleh melaksanakan tugasan di pejabat atau lokasi berkenaan secara berjadual dengan mematuhi peraturan atau prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan kerajaan.
Sementara itu, aspek keterlibatan dan komunikasi antara majikan dan pekerja perlu diperkasakan.
Dalam hal ini, penerangan dan perkongsian tentang hala tuju organisasi perlu disampaikan secara jelas kepada pekerja agar mereka cakna tentang peranan masing-masing.
Selain itu, perjumpaan maya serta komunikasi formal dan tidak formal antara penyelia, pekerja dan rakan setugas perlu dilakukan secara konsisten agar perasaan kekaburan, isolasi dan kebimbangan dapat dikurangkan.
Kesimpulannya, isu kekaburan peranan sering dipandang remeh.
Jika dibiarkan, ia mampu memberi kesan mendalam ke atas kesejahteraan individu mahupun organisasi.
Oleh itu, isu ini sewajarnya diperhalusi dan diperbaiki bagi menjamin kesejahteraan emosi dan prestasi pekerja tatkala mendepani ketidakpastian dan ranjau yang mendatang.
—————————————————————————-
NOR HAFIZAH IBRAHIM ialah Timbalan Pendaftar, Universiti Teknologi Mara (Calon PhD, Fakulti Ekonomi dan Pengurusan, Universiti Kebangsaan Malaysia).














