fbpx

Lapan warga Vietnam dicekup menyamar nelayan tempatan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Syed Nor Adli (kanan) menyoal siasat lapan warga Vietnam yang ditahan semasa mereka tiba di Jeti APMM, Pasir Puteh hari ini. - FOTO: TOREK SULONG

PASIR PUTEH – Lapan nelayan Vietnam termasuk seorang tekong ditahan selepas mereka didapati menggunakan sebuah bot yang diubah suai seakan milik nelayan tempatan untuk menangkap ikan secara haram di lokasi 83.3 kilometer dari Kuala Tok Bali di sini kelmarin.

Taktik itu dikesan oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Kelantan ketika menjalankan operasi di kawasan itu pada pukul 2.30 petang meskipun rupa bentuk, warna dan nombor pendaftaran yang dicat pada badan bot itu sama seperti bot nelayan tempatan.

Pengarah APMM Kelantan, Kepten Maritim Syed Nor Adli Syed Ab. Rahman berkata, dalam operasi itu, tujuh awak-awak dan seorang tekong berusia lingkungan 23 hingga 46 tahun ditahan ketika mereka sedang leka menangkap ikan.

Katanya, ketika bot mereka dihampiri, nelayan berkenaan tidak sempat meloloskan diri kerana perlu menaikkan pukat tunda ke atas bot terlebih dahulu.

“Pemeriksaan terhadap tekong bot mendapati warga Vietnam itu menunjukkan permit menangkap ikan yang disyaki palsu. Siasatan lanjut mendapati, tujuh orang daripada mereka memiliki pasport manakala seorang lagi tiada pengenalan diri.

“Pemeriksaan pada badan bot itu mendapati, mereka mengecat nombor pendaftaran nelayan Terengganu pada, namun kita masih berjaya menemui kesan cat nombor pendaftaran Vietnam pada bot tersebut,” katanya pada sidang akhbar di Jeti APMM Kelantan di sini hari ini.

Syed Nor Adli berkata, keseluruhan rampasan dianggarkan bernilai RM1.5 juta merangkumi nilai sebuah bot, peralatan menangkap ikan, 500 kilogram ikan dan 4,000 liter minyak diesel.

Menurutnya, setakat ini, APMM telah mengesan tiga kes nelayan asing menggunakan taktik sama untuk mengaburi mata pihak berkuasa.

“Kita juga mengesyaki ada sindiket yang memalsukan dokumen atau tindakan pemilik bot menjual lesen bot mereka secara tidak sah kepada warga Vietnam,” katanya.

Tambah Syed Nor Adli, kes disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Perikanan 1985 kerana menangkap ikan di perairan negara tanpa kebenaran yang sah. – K! ONLINE

 

Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:

MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 011-19598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI