fbpx

11 kali lebih berisiko untuk mati jika tak divaksin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Vaksin berkesan untuk melindungi diri daripada komplikasi serius jika dijangkiti Covid-19. - AFP

WASHINGTON – Satu kajian terbaharu daripada Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) Amerika Syarikat (AS) mendapati bahawa individu yang belum divaksin adalah 11 kali ganda lebih berisiko untuk mati akibat Covid-19, lapor akhbar New York Post, kelmarin.

Menerusi data yang dibentangkan oleh Pengarah CDC, Dr. Rochelle Walensky itu, serangan varian Delta yang kini menjadi varian dominan di AS menyumbang kepada lonjakan kes terutamanya dalam kalangan mereka yang belum divaksin.

Walensky berkata, mereka yang tidak menerima pelalian juga berisiko dijangkiti virus maut itu sebanyak 4.5 kali lebih tinggi berbanding penerima lengkap vaksin.

“Perkara paling penting diperoleh daripada kajian ini adalah kita mempunyai senjata sains yang diperlukan untuk mengubah keadaan semasa.

“Vaksin berkesan untuk melindungi diri daripada komplikasi serius jika dijangkiti Covid-19. Ia akan melindungi anak-anak kita dan membolehkan mereka kembali belajar secara bersemuka di sekolah,” kata Walensky.

Kajian itu melibatkan hampir 600,000 kes di 13 negeri di AS dari 4 April hingga 17 Julai lepas yang menunjukkan hubung kait antara status vaksinasi dengan kesan jangkitan Covid-19.

Sementara itu, satu lagi keputusan kajian berasingan yang dijalankan oleh CDC menunjukkan bahawa vaksin Moderna dipercayai paling berkesan untuk mengelakkan jangkitan serius yang memerlukan rawatan hospital.

Keberkesanan vaksin dalam kalangan penerima Moderna adalah sebanyak 95 peratus, diikuti dengan vaksin Pfizer iaitu 80 peratus dan Johnson & Johnson selaku suntikan dos tunggal yang meningkat kepada 60 peratus.

Secara keseluruhannya, keberkesanan vaksin dalam mencegah kes kemasukan ke hospital adalah 86 peratus.

AS kini melaporkan sekitar 136,000 kes baharu Covid-19 sehari dengan lebih 11,000 kemasukan ke hospital dan catatan 1,000 kematian setiap hari.

Berdasarkan laporan, 90 peratus daripada mereka yang dirawat di hospital ialah golongan yang tidak menerima vaksinasi dan kadar itu adalah 10 kali ganda berbanding mereka yang telah menerima pelalian penuh. – AGENSI

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI