fbpx

JKNP lapor KKM jika ada penjualan sijil vaksin palsu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Nor Azimi

KUANTAN – Jabatan Kesihatan Negeri Pahang (JKNP) memandang serius dakwaan pembelian sijil vaksin dan akan segera melaporkan kepada Kementerian Kesihatan (KKM) sekiranya terdapat laporan melibatkan pengamal perubatan yang menjual sijil vaksin di negeri ini.

Pengarah Kesihatan Negeri, Datuk Dr. Nor Azimi Yunus berkata, setakat ini pihaknya masih belum menerima laporan daripada mana-mana pihak berkaitan dakwaan tersebut.

“Kita tidak tahu cerita sebenar dan setakat ini kita tidak tahu setakat mana pemalsuan itu, apa yang berlaku dan siapa yang memalsukan.

“Setakat ini kami tidak menerima laporan, kalau ada kami akan laporkan kepada KKM sebab itu adalah kapasiti KKM memberi maklum balas,”katanya dalam sidang akhbar selepas majlis Bersama Media Sepetang Bersama Pengarah Negeri Pahang di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Presiden Kelab Media Pahang, Datuk Nik Naizi Husin.

Baru-baru ini Kosmo! melaporkan ada individu sanggup membayar sehingga RM1,000 bagi membeli sijil vaksin walaupun tanggungjawab untuk mendapatkan suntikan pelalian hanya percuma.

Seorang lelaki yang dikenali sebagai Ami berkata, dia sanggup mengeluarkan wang sehingga RM1,000 meskipun boleh mendapatkan suntikan vaksin percuma kerana takut kesan daripada suntikan vaksin dalam jangka panjang.

Dalam pada itu Nor Azimi berkata, seramai 18,489 rakyat negeri ini telah menerima suntikan dos penggalak setakat ini sejak suntikan berkenaan bermula pada 15 Oktober lalu.

Katanya, individu yang menerima suntikan berkenaan terdiri daripada petugas barisan hadapan, warga emas dan juga individu yang berisiko kerana mempunyai penyakit.

Ujar beliau, pihaknya menyasarkan seramai 756,994 orang yang terdiri daripada petugas barisan hadapan, warga emas dan golongan berisiko mempunyai penyakit menerima suntikan dos penggalak pada peringkat awal. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI