fbpx

Poland rentap ego The Three Lions

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
TONGGAK England, Jack Grealish (tengah) menjadi sasaran salah seorang pemain Poland sewaktu rehat separuh masa pertama di Warsaw awal pagi semalam. – AFP

WARSAW – Finalis Euro 2020, England gagal mengekalkan rekod kemenangan 100 peratus dalam enam perlawanan Kumpulan I kelayakan Piala Dunia 2022 selepas seri 1-1 dengan Poland di Stadium Nasional Warsaw awal pagi semalam.

Keputusan itu menyaksikan Denmark muncul satu-satunya pasukan dari zon Eropah yang masih mengekalkan rekod kemenangan bersih daripada semua enam perlawanan dalam saingan Kumpulan F.

The Three Lions yang menguasai sepenuhnya aksi itu, dilihat mampu mengikut jejak Denmark menerusi jaringan Harry Kane pada minit ke-72 sebelum Poland bangkit menyamakan kedudukan melalui Damian Szymanski di hujung permainan.

Bagaimanapun, pengurus England, Gareth Southgate tampil mempertahankan keputusannya untuk tidak membuat sebarang pertukaran pemain sepanjang 90 minit perlawanan itu.

“Tiada keperluan saya menukar pemain, sedangkan kami mendominasi sepenuhnya perlawanan. Ia bukan sesuatu yang mudah kerana sebarang keputusan mungkin boleh mengubah rentak permainan.

“Saya ada merancang membawa masuk beberapa pemain simpanan sebelum aksi tamat. Namun, Poland menjaringkan gol penyamaan dan ia sudah terlalu lewat untuk saya membuat pertukaran,” katanya.

Begitupun, Southgate tidak kecewa dengan keputusan itu meskipun sedar kemenangan ke atas Poland awal pagi semalam mampu meletakkan mereka ‘sebelah kaki’ untuk meraih tiket automatik ke pentas Piala Dunia 2022 di Qatar.

“Kami boleh mengukuhkan kedudukan kami sebagai pendahulu kumpulan. Malangnya, ia tidak berlaku tetapi saya tidak boleh menyalahkan para pemain kerana mereka sudah bermain dengan sangat bagus,” jelasnya. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI