fbpx

TH rekod pendapatan RM1.52 bilion

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
TH kini memiliki sebanyak RM81.14 bilion deposit, paras tertinggi pernah dicapainya sejak ditubuhkan.

PETALING JAYA – Lembaga Tabung Haji (TH) mencatat pendapatan sebanyak RM1.52 bilion bagi setengah tahun pertama berakhir 30 Jun 2021, penurunan satu peratus berbanding RM1.55 bilion yang dicapai pada tempoh sama tahun sebelumnya.

Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Datuk Seri Amrin Awaluddin berkata, sebahagian besar pendapatan diperoleh daripada pelaburan pendapatan tetap yang menyumbang RM942.6 juta, merangkumi 62 peratus daripada pendapatan, manakala sumba­ngan pelaburan saham meningkat kepada RM219.9 juta daripada RM184.2 juta tahun lalu.

Menurutnya, pelaburan hartanah pula memperoleh pendapatan sebanyak RM174.7 juta berbanding RM250.8 juta tahun lalu, diikuti pelaburan dalam pasaran wang dengan pendapatan RM161.8 juta.

“Mengambil kira perbelanja­an serta peruntukan zakat, TH mencatatkan untung bersih RM1.22 bilion untuk enam bulan pertama tahun ini, penurunan 2 peratus berbanding RM1.25 bi­lion pada 2020.

“Antara faktor yang me­nye­bab­kan penurunan keuntu­ngan adalah pelaburan harta­nah berikutan keadaan pasaran mencabar kerana impak pandemik di seluruh dunia,” katanya dalam kenyataan.

Pada 30 Jun 2021, jumlah deposit di TH berjumlah RM81.14 bilion, paras tertinggi sejak penubuhannya dengan jumlah pendeposit sebanyak 8.3 juta, berbanding 8.9 juta pendeposit tahun lalu.

Amrin menerangkan, TH sentiasa dan akan terus meningkatkan serta memperkukuhkan aspek tadbir urus dan operasi untuk membina ketahanan masa depan.

“TH sentiasa mengambil langkah berhati-hati pada setengah tahun kedua tahun 2021 dengan mengambil kira penularan varian Covid-19 baru muncul.

“Namun dengan proses vaksinasi yang ditingkatkan, pasti­nya ia akan menjadi pe­mangkin kepada pertumbuhan semula ekonomi negara,” jelas beliau.

Mengulas mengenai ibadah haji, Amrin berkata, pihaknya amat sedih kerana tidak dapat menguruskan haji pada tahun ini, namun TH akan tetap meng­atur ke­semua langkah yang di­perlukan bagi menambah baik aspek persiapan haji mengikut peraturan dan syarat keselamatan baharu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI