fbpx
ROZITA CHE WAN

Jangan risikokan diri orang lain – Che Ta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Tidak mahu meletakkan dirinya dalam keadaan berisiko, dramatis terkenal, Rozita Che Wan berharap setiap rumah produksi menyaring ketat pelakon mahupun kru supaya melengkapkan dua dos vaksin Covid-19 sebelum penggambaran bermula.

Menurut Rozita, individu yang tidak disuntik atau belum lengkap suntikan dianggap sebagai tidak bertanggungjawab sekiranya masih berdegil untuk bekerja tanpa mempedulikan keselamatan diri dan orang lain.

“Setakat ini, saya tidak mendengar lagi mana-mana syarikat produksi yang mahu menyambung semula penggambaran tanpa mengikut prosedur operasi standard (SOP) terutama berkaitan vaksin.

“Selepas empat bulan tidak turun ke lokasi penggambaran, sudah tentu kita semua mengharapkan penggambaran yang tertunda akibat pandemik dapat berjalan lancar dengan memastikan semua pihak mematuhi garis panduan yang ditetapkan.

“Saya sendiri tidak akan merisikokan diri sendiri dan orang lain yang bekerja dengan saya kerana yakin sekiranya kita mengikuti segala yang disarankan, Insya-Allah risiko jangkitan dapat dielakkan,” katanya ketika ditemui pada sesi pengenalan duta Himaya semalam.

Bercerita lanjut, Rozita atau mesra disapa Che Ta, 48, memberitahu, buat masa ini, dia juga tidak sabar untuk mula bekerja selepas beberapa bulan menunggu berita berkaitan pembukaan semula sektor industri kreatif.

Ibu kepada tiga cahaya mata itu memaklumkan, dia bakal menjalani penggambaran drama bersiri di Perlis selama sebulan bermula pertengahan bulan ini.

“Kali ini lokasi penggambaran agak jauh dari Kuala Lumpur dan melibatkan ramai pelakon kerana episodnya panjang. Apa pun saya sudah lengkap dua dos dan boleh bekerja, cuma masih perlu berhati-hati serta ikut SOP.

“Sebagai penerbit, syarikat saya dijadualkan memulakan penggambaran drama Hingga Ke Hujung Nyawa tidak lama lagi,” katanya lagi.

Semalam, Seniwati Fauziah Nawi mendedahkan terdapat penerbit yang bersikap mementingkan diri sendiri apabila menggunakan khidmat pelakon yang tidak mengambil suntikan vaksin dalam
pembikinan drama.

Dalam hantaran yang dimuat naik di laman Facebooknya, pelakon veteran berusia 68 tahun itu meluahkan rasa kecewa kerana langkah yang dibuat itu tidak memikirkan rakan-rakan seangkatan lain.

Industri kreatif dibenarkan beroperasi bagi negeri-negeri Fasa 1 Pelan Pemulihan Negara bermula hari ini. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN