fbpx
KEINDAHAN sawah padi menggamit pelawat untuk berkunjung ke Sungai Haji Dorani, Sungai Besar.

Cari ketenangan bercuti di kampung yang mendamaikan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

MUNGKIN ramai dalam kalangan kita yang kini tidak dapat ke mana-mana disebabkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ingin merasai percutian yang penuh dengan ketenangan dan mendamaikan.

Selepas aktiviti merentas negeri dibenarkan nanti, bolehlah mencari lokasi percutian di kawasan kampung yang mendamaikan dikelilingi keindahan pemandangan sawah padi yang sayup mata memandang.

Salah satu lokasi percutian yang memberikan pengalaman sedemikian adalah di inap desa di Kampung Sungai Haji Dorani, Sungai Besar, Selangor yang pastinya memberikan 1,001 pengalaman berharga merasai kehidupan masyarakat kampung.

———————————————————————————————————————————————————————————————————————–

SUASANA kampung dengan sawah terbentang indah nan menghijau pasti menarik sesiapa sahaja untuk menikmati pengalaman kehidupan di desa yang sangat menenangkan jiwa.

Salah satu lokasi yang menawarkan pakej penginapan desa adalah di Homestay JKKK Sungai Haji Dorani, Sungai Besar, Selangor yang turut menyediakan pelbagai aktiviti untuk para pengunjung.

Beroperasi sejak tahun 2010, inap desa itu di bawah seliaan Biro Pelancongan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Sungai Haji Dorani.

Menurut penyelia inap desa tersebut, Ab. Jalil Ambot, pihaknya mahu memperkenalkan keindahan kampung itu yang terkenal dengan aktiviti pertanian dan sawah padi kepada masyarakat luar menerusi perkhidmatan inap desa.

KUKUR kelapa dijadikan aktiviti kepada pengunjung untuk merasai kehidupan kampung.

“Idea inap desa ini bermula apabila kami melihat kebanyakan rumah di sini hanya dihuni warga tua yang tinggal berdua kerana ramai anak muda berhijrah mencari pekerjaan di bandar.

“Sehubungan itu, kami bekerjasama dengan pemilik rumah untuk membangunkan projek inap desa dengan memperkenalkan konsep keluarga angkat, sekali gus mengubat kesunyian mereka ketika berjauhan dengan anak-anak,” cerita bapa kepada 10 orang anak itu.

Tambahnya, dia tidak menyangka sambutan yang diberikan pada ketika itu sangat luar biasa sehingga ada sekolah membuat permintaan untuk mengadakan program rombongan bersama pelajar.

Sejak beroperasi 10 tahun lalu, Homestay JKKK Sungai Haji Dorani, kini mempunyai 17 buah rumah dan lima daripadanya dikhaskan untuk rombongan yang boleh memuatkan sehingga 40 orang bagi satu rumah.

“Kini lima inap desa itu disediakan khas untuk pengunjung yang mana mereka tidak perlu tinggal dengan tuan rumah.

“Keperluan penginapan itu akan diuruskan oleh ahli jawatankuasa yang terlibat termasuk makan minum dan aktiviti,” terangnya yang membesar di kampung berkenaan.

Dalam pada itu, Ab. Jalil memberitahu, inap desa di situ turut dijadikan lokasi penginapan oleh para pelajar daripada institusi pengajian tinggi untuk tujuan kajian berkaitan ekonomi setempat dan bahasa, selain lawatan.

MENGGAGAU ikan antara aktiviti popular dalam kalangan pengunjung ke Sungai Haji Dorani.

Antara aktiviti yang disediakan di situ adalah menaiki sampan, berakit, melawat sawah, memancing ikan, mencari lokan, berbasikal di sekitar kampung, menggagau ikan, permainan tradisional dan mandi di palung sawah.

Di samping itu, pengunjung juga dibawa melawat beberapa lokasi menarik seperti perusahaan membuat pelbagai biskut, kuih sejuk beku, makanan coklat, minyak kelapa dara, kuih baulu, nata de coco dan mini estet padi.

Selain itu, mereka turut dibawa ke muara sungai, Muzium Pertanian dan Perikanan Sabak Bernam, kelip-kelip Sungai Panjang, Muzium Padi Sekinchan serta rumah tradisional.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN