fbpx

Bila jari jadi lidah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR HIASAN

SASTERAWAN Barat, Jean Houston mengungkapkan: “Jangan biarkan emosi mengatasi kebijaksanaan”. Benjamin Franklin pula menyatakan apa sahaja yang dimulakan dengan kemarahan akan berakhir dengan memalukan diri sendiri.

Ungkapan-ungkapan ini agak pedas dengan situasi hari ini. Hidup dalam dunia tanpa sempadan bertunjangkan media sosial, bukan sahaja kita mudah berhubung dengan siapa juga di muka bumi bahkan apa jua hantaran yang dipertuturkan boleh disaksikan seluruh dunia dan dinilai.

Jangan pelik istilah ‘dipertuturkan’ yang penulis gunakan kerana dari segi kaedah fiqah, tulisan itu sama martabatnya dengan lidah. Itulah yang disimpulkan para mufti apabila menghukumkan penulisan di media sosial itu sama seperti lidah yang menuturkan.

Dari dahulu kita diminta menjaga lidah. Rasulullah SAW mengingatkan bahawa seorang Muslim yang sejati itu ialah seorang yang tidak menyakiti orang lain dengan lidah dan tangannya. Bermakna, dalam Islam, adab serta menjaga dan mengawal kata-kata itu begitu penting.

Rasulullah juga bersabda bahawa orang Islam yang kuat itu bukanlah orang yang banyak berperang tetapi orang yang mengawal dirinya ketika marah. Rasulullah tidak pernah mengasari waima orang kafir yang menyakitinya.

Rakyat Malaysia kini begitu terkenal di seluruh dunia dengan kecekapan tentera-tentera bawangnya. Apa sahaja isu yang memberi kesan kepada rakyat Malaysia, menjadi tabiat bala tentera ini segera melakukan serangan di alam maya atau memasuki akaun media sosial orang atau pihak sasaran untuk dihambur segala perasaan.

Baru-baru ini, di samping isu atlet paralimpik lontar peluru, Muhammad Ziyad Zolkefli terlepas pingat emas kerana lewat memasuki bilik panggilan, rata-rata media antarabangsa turut melaporkan dalam berita sama bahawa atlet Ukraine, Maksym Koval yang meraih pingat emas mendapat banyak serangan cacian daripada rakyat Malaysia.

Media sosial orang kelainan upaya (OKU) itu dibanjiri ejekan, kutukan bahkan ada yang tergamak mengata kecacatan fizikal. Bukan sahaja Ziyad merayu netizen agar kecaman terhadap kawannya dihentikan, bahkan Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan tampil menegur tidak sepatutnya bagi seorang Muslim berkelakuan kurang sopan apatah lagi menyakiti OKU.

Menunjukkan solidariti di media sosial itu tiada salahnya, namun setiap orang perlu mengawal kata-kata agar tidak dilihat kita manusia yang mudah ‘koyak’ di mata orang lain.

Berlainan dengan apa yang terjadi kepada atlet lompat jauh Greece, Athanasios Prodromou apabila ramai rakyat Malaysia mengucapkan terima kasih kepadanya kerana membantu Abdul Latif Romly. Tindakan netizen-netizen itu patut dipuji kerana menyebarkan nilai positif.

Kesimpulannya, media sosial bukan tiket untuk melakukan apa jua sehingga matlamat menghalalkan cara.

Rasa kecewa dan marah bukan lampu hijau untuk berkata apa sahaja. Sebagai rakyat Malaysia yang majoritinya beragama Islam, tanggungjawab memancarkan kebaikan akhlak Rasulullah di mata dunia itu terletak di bahu kita. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI