fbpx

Tempah sendiri pemandu dengan airasia ride

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PERKHIDMATAN airasia ride memberi lebih banyak pilihan kepada pengguna di negara ini.

MENJADI syarikat pelopor dalam industri penerbangan murah negara, AirAsia telah menerbangkan jutaan pelanggan ke pelbagai destinasi sebelum ini.

Bagaimanapun, pandemik Covid-19 sejak dua tahun lalu memberi impak yang sangat besar kepada syarikat itu.

Ini memandangkan industri penerbangan bukan sahaja di Malaysia, malahan di seluruh dunia mengehadkan operasi dan ada dalam kalangan kakitangan terpaksa diberhentikan.

Walaupun terkesan agak teruk, namun syarikat berkenaan terus bergerak ke hadapan dan mengembangkan ekosistem perniagaan dengan melancarkan perkhidmatan e-panggilan terbaharu, airasia ride.

Ia menawarkan penumpang lebih kemudahan, lebih nilai, dan peluang pendapatan terbaik kepada pemandu, selain menyediakan perkhidmatan selamat kerana 100 peratus pemandunya telah divaksin sepenuhnya.

BUAT masa ini, perkhidmatan airasia ride hanya boleh didapati di Lembah Klang dan akan dikembangkan ke bandar-bandar lain tidak lama lagi.

Ketua Pegawai Eksekutif airasia ride Malaysia, Lim Chiew Shan berkata, apa yang membezakan airasia ride dengan pesaingnya adalah data dan maklumat unik yang mereka ada.

Menurutnya, mereka adalah Super App yang memiliki syarikat penerbangan dan mempunyai cabang perniagaan kukuh termasuk e-dagang, teknologi kewangan, logistik dan kini e-panggilan.

“Ini membolehkan kami memanfaatkan data yang luas.

“Algoritma dimiliki Kumpulan Airasia dapat menyedia dan menghubungkan tempahan yang lancar kepada penumpang daripada penerbangan dan pratempah kenderaan ke lapangan terbang hingga tempahan kenderaan untuk perjalanan pulang. Semuanya dalam satu aplikasi.

“Tidak lama lagi, penumpang juga boleh menggunakan kemudahan BIG Poin untuk membayar perjalanan mereka dan dapat menikmati tambang terendah serta perjalanan percuma, sama seperti promosi ikonik ‘Tempat Duduk Percuma AirAsia’,” katanya.

Tambahnya, penumpang juga boleh memilih jenis kenderaan dan juga pemandu bersesuaian kerana airasia ride mempunyai kumpulan pemandu daripada pelbagai komuniti.

Dia juga teruja untuk berkongsi bahawa airasia ride melaksanakan konsep ‘pemandu diutamakan’ yang membolehkan mereka menerima pendapatan keseluruhan yang lebih tinggi untuk kehidupan lebih baik.

PENUMPANG boleh membuat tempahan mengikut permintaan lebih awal.

Pada masa ini, airasia ride mempunyai 1,500 pemandu berdaftar dan dengan pelan pengembangan ke seluruh negara, dijangka lebih 5,000 pemandu akan mendaftar dalam tempoh enam bulan ini.

Dalam pada itu, Ketua Penguatkuasaan Keselamatan Kumpulan Airasia dan Ketua airasia ride, Kapten Ling Liong Tien berkata, keselamatan adalah keutamaan mereka.

Justeru ujarnya, pemandu kenderaan asia ride bukan sahaja telah divaksin sepenuhnya, tetapi mereka juga kerap disaring untuk memastikan pengguna menikmati pengalaman yang selamat dan penuh yakin.

“Melancarkan airasia ride merupakan pengalaman menarik bagi saya yang bermula sebagai juruterbang komersial hingga mengetuai cabang perniagaan e-panggilan untuk Super App.

“Kami telah bekerja keras selama beberapa bulan dan cabaran utama adalah mengubah minda kami daripada menyediakan perkhidmatan di atas ‘awan’ kepada kenderaan darat.

“Saya amat berbangga dengan pasukan kami yang mampu menyesuaikan diri dengan cepat dan terbuka untuk mengubah perniagaan kepada digital,” terangnya.

Selain itu, para pemandu airasia ride juga akan mempunyai informasi ketibaan penumpang dalam masa nyata, sekaligus membolehkan mereka menguruskan masa dengan lebih baik, selain mengurangkan masa menunggu.

Dengan ini, mereka boleh membuat lebih banyak perjalanan dan menjana lebih banyak pendapatan.

Apa yang lebih menarik, pemandu akan menerima 85 peratus tambang bersih, yang mana lebih tinggi berbanding syarikat pesaing lain.

Tambang airasia ride pula ditetapkan RM1 secara purata untuk setiap kilometer, tidak termasuk caj tol.

Untuk kemudahan penumpang, mereka juga boleh membuat tempahan mengikut permintaan atau pratempahan lebih awal.

Antara ciri khas lain yang tersedia adalah pilihan Allstar Ride yang dipandu oleh juruterbang atau kru kabin AirAsia.

Dalam pada itu, mereka yang berminat untuk menyertai pasukan airasia ride boleh mendaftar dengan memuat turun aplikasi pemandu airasia ride untuk pendaftaran.

Buat masa ini, perkhidmatan itu tersedia di Lembah Klang dan bakal berkembang ke bandar-bandar lain menjelang hujung tahun ini.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI