fbpx

Igauan suami ‘pergi’ ketika bertugas jadi kenyataan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Jenazah Aidil selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Baru, Kluang, Johor hari ini.

KLUANG – Kebimbangan seorang isteri terhadap keselamatan suami ketika bertugas akhirnya menjadi kenyataan apabila lelaki itu maut dalam kemalangan malam semalam.

Syahira Sabar, 27, sebelum ini kerap terbayangkan mengenai insiden yang mengorbankan pemandu van milik Kementerian Kesihatan (KKM) di Johor Bahru pada Ogos lalu.

Ahli farmasi itu berkata, arwah suaminya, Aidil Hamidun, 27, yang merupakan petugas KKM merupakan suami dan bapa bertanggungjawab selain pemurah.

“Apabila mempunyai masa terluang kami berbual mengenai apa sahaja termasuk soal kematian.

“Kami memang terkesan dengan kisah orang meninggal dunia semasa musim Covid-19 ini termasuk kemalangan yang menyebabkan pemandu van KKM matu pada bulan lalu.

“Tapi tak sangka, suami saya akhirnya pergi ketika bertugas. Saya selalu terbayang dan risau akan kematian semasa bertugas,” katanya ketika ditemui di Tanah Perkuburan Islam Kampung Baru, di sini hari ini.

Syahira berkata, arwah yang sudah berkhidmat lebih lima tahun dengan KKM tinggal berasingan kerana bertugas di Simpang Renggam.

Kali terakhir mereka bertemu pada Ahad lalu.

“Saya mendapat panggilan mengenai kejadian daripada doktor di Simpang Renggam memaklumkan kemalangan pada 8.40 malam tadi.

“Saya sedih dan terkejut kerana arwah mengajak saya bersolat jemaah dan selepas ini saya pasti merindukan kenangan dengannya.

“Saya reda arwah ‘pergi’ ketika bertugas dan semoga Allah menerima semua amalannya dan rohnya ditempatkan dalam kalangan orang beriman,” katanya.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Low Hang Seng berkata, seorang penolong pegawai perubatan maut selepas ambulans yang dinaiki bertembung sebuah treler di Kilometer 77, Jalan Johor Bahru – Air Hitam, 8.20 malam tadi.

Kemalangan turut menyebabkan pemandu ambulans, Othman Ghafan, 50, dan pesakit yang dikenali sebagai Nursyahira Halan, 24, Nur Syahda Halan, 18 serta waris mereka Sukiman Hasan, 59 cedera.

“Kemalangan dipercayai berlaku apabila ambulans yang dipandu dari arah Machap menghala ke Simpang Renggam dipercayai melanggar belakang tayar treler.-K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI