fbpx
Gambar hiasan.

Harga ayam cecah RM10 sekilogram

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

GEORGE TOWN – Harga ayam segar di pasar-pasar awam di seluruh negara mencatat kenaikan ketara sehingga mencecah RM10 sekilogram sejak minggu lalu, sekali gus menimbulkan keresahan dalam kalangan pengguna dan peniaga makanan.

Tinjauan Kosmo! di beberapa buah pasar awam mendapati, kenaikan itu tidak dapat dielak ekoran harga yang dikenakan di peringkat penternak dan pemborong juga cukup tinggi.

Di George Town, Pulau Pinang, beberapa peniaga di pasar awam di daerah Barat Daya dan Timur Laut mula mempamerkan tanda harga baharu iaitu RM10 sekilogram, berban­ding sekitar RM9 hingga RM9.50 sekilogram sebelum ini.

Rata-rata mereka mendakwa terpaksa meletakkan harga tersebut selepas berlaku kenaikan harga ayam hidup dan pro­ses di peringkat penternak serta pemborong.

Bagaimanapun, masih terdapat peniaga yang tidak sanggup menaikkan harga, sebaliknya mengekalkan pada harga asal ia­itu RM9.50 hingga RM9.60 sekilogram semalam.

Berbanding di pasar raya atau premis peruncitan, harga ayam segar dijual sekitar RM6.99 hingga RM7.99 sekilogram.

Seorang peniaga, Harun Ismail, 52, berkata, trend kenaikan harga ayam segar telah berlaku sebanyak empat kali sejak bulan lalu daripada peringkat penternak sehinggalah peniaga.

“Kami pun tidak pasti punca sebenar kenaikan harga ayam, tetapi ramai dalam kalangan peniaga termasuk pemandu lori mendakwa ia berpunca daripada kenaikan harga dedak haiwan ternakan itu ketika ini.

“Saya sudah letih dengan kenaikan harga ayam ini. Jika saya kekalkan harga RM8.60 hingga RM9, memang akan berdepan kerugian. Inipun saya masih letak harga lama iaitu RM9.50 seki­logram dan tak untung pun.

“Melihat keadaan semasa ketika ini dengan ramai daripada kita yang ditimpa kesusahan akibat pandemik Covid-19, saya tak sampai hati meletakkan harga sebanyak itu (RM10),” jelasnya.

Gambar hiasan

Difahamkan, di peringkat pemborong, harga ayam segar dijual sekitar RM8 hingga RM8.60 sekilogram.

Sementara itu, seorang peniaga ayam, Norihan, 45, mendesak kerajaan agar mengawal kenaikan harga dedak dan ayam hidup di peringkat penternak dalam kadar segera.

“Harga ayam selepas sambutan Hari Raya Aidilfitri ada berlaku penurunan sehingga RM8.60 sekilogram dan kemudiannya terus naik berkali-kali sehingga RM10 sejak tiga hari lalu.

“Sampai ke hari ini, kami tidak dimaklumkan mengenai punca sebenar kenaikan harga ayam dan hanya mendengar dakwaan daripada pihak pembekal hari ini (semalam) yang mengatakan banyak ayam mati di ladang.

Di Petaling Jaya, Selangor, rata-rata pengusaha kedai makan terkejut apabila mendapati harga sekilogram ayam bersih telah mencecah RM10 sejak Ahad lalu.

Seorang peniaga, Izman Hafiz berkata, harga yang naik mendadak itu cukup membebankan golongan mereka yang baru memulakan semula perniagaan setelah kerajaan membenarkan kedai makan beroperasi.

“Memang ada pilihan untuk beli ayam di beberapa tempat lain antaranya di Tesco dan NSK, namun premis itu juga kadangkala kehabisan stok sekiranya kita terlambat.

“Terpaksa juga beli di pasar berdekatan, memang saya terkejut dengan harga sekilo ayam yang sudah mencecah RM10,” jelasnya.

Di Alor Setar, Kedah, kenaikan harga bekalan ayam daripada pembekal menjadi antara faktor peniaga terpaksa menaikkan harga ternakan itu sehingga RM7.99 sekilogram.

Tinjauan di beberapa pasar dan pasar raya mendapati, rata-rata peniaga terpaksa menaikan harga ayam kerana bekalan ayam yang diperoleh juga mahal.

Seorang peniaga ayam, Muhammad Zuhair, 28, berkata, dia yang biasa menjual ayam bawah harga RM7.30 sekilogram juga terpaksa menaikkannya sehingga RM7.90 sekilogram.

“Berdasarkan maklumat pembekal, mereka dakwa kos harga makanan ternakan semakin mahal dan terpaksa menaikkan sedikit harga bekalan kepada peniaga.

“Tambahan, saya juga perlu mengira kos lain seperti sewa kedai dan gaji pekerja yang sekurang-kurangnya ada untung untuk meneruskan perniagaan,” katanya ketika ditemui di kedai­nya di sini semalam.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN