fbpx
Seorang guru ditemui sudah meninggal dunia di dalam bilik utama kediamannya di Taman Dato Lela Maharaja, di sini, pagi tadi.

Guru ditemui meninggal dunia di rumah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

REMBAU – Bimbang sesuatu berlaku ke atas jirannya, seorang lelaki segera menghubungi polis pagi tadi bagi meminta bantuan melihat jiran mereka yang tidak kelihatan keluar rumah sejak kelmarin (Ahad lalu).

Dalam kejadian kira-kira pukul 8 pagi di Taman Dato Lela Maharaja, mangsa, Badariah Md. Dahlan, 54, yang merupakan seorang guru ditemui terbaring tidak bernyawa di atas katil di bilik utamanya.

Menurut Ketua Polis Daerah Rembau, Deputi Superintendan, Hazri Mohamad, lelaki berusia 43 tahun berkenaan mendapat maklumat dari jiran lain yang mendakwa tidak melihat mangsa keluar rumah serta gagal dihubungi.

“Lelaki berkenaan bersama jiran-jiran lain melihat pagar dan pintu rumah mangsa dalam keadaan berkunci. Mereka memanjat pagar dan mengetuk pintu rumah mangsa namun tiada jawapan.

“Bimbang dengan keadaan tersebut menyebabkan lelaki berkenaan menghubungi polis bagi tindakan selanjutnya,” katanya di sini hari ini.

Hazri berkata, hasil siasatan mendapati mangsa yang tinggal berseorangan disahkan telah meninggal dunia oleh pasukan paramedik.

Menurutnya, tiada unsur jenayah di temui di lokasi kejadian dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

“Mangsa dipercayai telah meninggal dunia kira-kira dua hari. Mayat di hantar ke Hospital Rembau bagi ujian calitan Covid-19 dan bedah siasat.

Sementara itu, jiran mangsa, Nornazyin Selamat, 37, berkata, arwah merupakan seorang guru Bahasa Melayu di Sekolah Kebangsaan (SK) Chembong dan sangat berdedikasi.

Menurutnya, arwah yang tinggal berseorangan seorang yang pendiam, namun, kebiasaannya akan keluar rumah bagi menyiram pokok mahupun menyidai pakaian.

“Malah, seminggu sekali, bahan-bahan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) yang di fotostat akan dihantar ke rumahnya untuk diberikan kepada murid-murid.

“Pagi tadi rakannya ingin menjemputnya bagi membantu menghantar ke janji temu kesihatan di Hospital Tuanku Jaafar (HTJ) di Seremban, namun, mangsa tidak kelihatan keluar dari rumah serta mengangkat telefon.

Menurutnya, kebiasaannya, arwah pasti sudah memberikan tugasan  Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) kepada anak-anak muridnya pada malam Ahad, namun tiada. – K! ONLINE

 

Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:

MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929

POPULAR