fbpx

Polis rampas rokok seludup bernilai RM300,000

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MOHAMAD Noor (dua dari kanan) menunjukkan rokok seludup yang berjaya dirampas dalam sidang akhbar di Stor Barang Kes Berpusat PDRM di Indera Mahkota di Kuantan hari ini.

KUANTAN – Baru sebulan buat kerja haram sudah kantoi. Begitu nasib yang menimpa seorang lelaki berusia 33 tahun yang bekerja sebagai penjaga stor penyimpanan rokok seludup di perumahan Gambang Makmur, di sini.

Penahanan lelaki berasal dari Perak itu sekali gus membawa kepada rampasan 6,200 karton rokok jenama Lee dianggarkan bernilai RM300,000 yang disimpan di rumah yang dijadikan stor simpanan itu.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Mohamad Noor Yusof Ali berkata, lelaki terbabit ditahan di sebuah rumah di Gambang Jaya, di sini selepas polis mendapat maklumat awam.

“Pemeriksaan di dalam rumah itu menemukan lima telefon bimbit pelbagai jenama, sebuah komputer riba, satu passport Malaysia, dan sebuah beg hitam yang berisi wang tunai berjumlah RM24,000.

“Pemeriksaan lanjut turut menemukan tiga kotak yang mengandungi 150 karton rokok jenama Lee dipercayai diseludup yang disimpan di dalam bonet kereta di hadapan rumah terbabit,”katanya dalam sidang akhbar di Stor Barang Kes Berpusat Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Indera Mahkota, di sini, hari ini.

Menurutnya, rentetan daripada penahanan itu, suspek telah membawa polis ke sebuah rumah di Gambang Makmur, di sini, yang dijadikan stor penyimpanan dan menemukan 121 kotak berisi 6,050 karton rokok jenama sama.

Katanya, daripada siasatan yang dilakukan mendapati suspek tidak mempunyai sebarang rekod jenayah dan berperanan sebagai penjaga stor rokok seludup terbabit malah baru sebulan berkerja dengan seorang lelaki berasal dari Johor.

“Suspek bertindak sebagai penjaga stor dan akan mengeluarkan stok rokok terbabit kepada pengedar atau ejen yang akan datang untuk mendapatkan bekalan sebelum dijual.

“Kesemua bekalan rokok yang dirampas disyaki baru cuba dijual untuk pasaran di daerah ini dan siasatan lanjut masih dijalankan termasuk memburu dalang utama sindiket penyeludupan rokok terbabit,”katanya.

Ujarnya, suspek kini direman sehingga 10 September ini dan kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 135(1) Akta Kastam 1967. – K! ONLINE

 

Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:

MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 011-19598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI