fbpx
Gambar hiasan.

Selam skuba, snorkeling bakal dibenarkan di Langkawi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA – Produk tarikan utama pelancong seperti aktiviti pantai, sukan air, selam skuba dan snorkeling di Pulau Langkawi antara yang diberi kebenaran kelak selepas destinasi itu dipilih sebagai projek rintis program gelembung pelancongan bermula 16 September depan.

Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) dalam satu kenyataan berkata, kebenaran terhadap aktiviti-aktiviti utama yang menjadi tarikan pengunjung itu bakal diumumkan secara lebih terperinci tertakluk kepada perubahan semasa.

Kementerian itu berkata, aktiviti lain yang akan dibenarkan adalah pelancongan memancing, pusat edutainment, taman rekreasi, taman negara, akuarium, zoo dan lain-lain kegiatan riadah, rekreasi serta sosial.

Katanya, turut akan dibenarkan ialah penginapan di hotel dan inap desa termasuk semua fasiliti dalam premis hotel dan inap desa, acara mesyuarat, insentif, konvesyen dan persidangan (MICE) serta acara-acara pelancongan dan kebudayaan lain.

“Selain itu ialah aktiviti pelancongan minat khas seperti golf, selam skuba, berbasikal, berkayak dan sebagainya.

“Juga akan dibenarkan ialah aktiviti eko geo-kembara seperti berkhemah, mendaki gunung, kembara gua, jungle treking dan banyak lagi,” katanya di sini hari ini.

MOTAC berkata, aktiviti melibatkan premis hasil seni, budaya dan warisan seperti muzium, perpustakaan, galeri seni, pusat atau kampung seni warisan budaya dan pementasan persembahan budaya juga akan dibenarkan.

“Di samping itu ialah taman tema dan pusat hiburan keluarga serta lawatan bersifat akademik,” katanya.

Pada masa sama, pihak MOTAC juga sedang menyediakan pakej pelancongan yang lebih menarik buat seluruh Keluarga Malaysia sebagai menghargai sokongan dalam merancakkan semula aktiviti pelancongan domestik apabila kebenaran diberikan kelak.

Katanya, hasil perkembangan projek rintis gelembung pelancongan domestik serta pematuhan terhadap prosedur operasi standard norma baharu di Langkawi akan dijadikan kayu ukur sebagai persediaan rapi bagi pembukaan pulau-pulau peranginan lain secara berperingkat.

“Ini termasuk Pulau Redang, Pulau Kapas, Pulau Tioman, Pulau Pangkor, Pulau Rawa, Pulau Perhentian, Pulau Sipadan sebelum diperluas ke destinasi-destinasi pelancongan utama lain seperti Bukit Fraser, Desaru, Melaka, Pulau Pinang dan Sabah,” katanya.

MOTAC katanya, akan sentiasa membuat pemantauan dan mengadakan beberapa lagi sesi libat urus dengan para penggiat industri pelancongan serta pemegang taruh berkaitan bagi meluaskan gelembung pelancongan ini secara berfasa. -K! ONLINE

Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:

MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929

POPULAR