fbpx

Sambutan merdeka di Pahang tetap meriah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
TENGKU HASSANAL IBRAHIM ALAM SHAH (depan, kanan) diiringi Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail (kiri) pada majlis sambutan Hari Kebangsaan ke-64 peringkat negeri Pahang di perkarangan Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) di Kuantan hari ini. - Foto: Shaikh Ahmad Razif

KUANTAN – Walaupun sederhana dengan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat, namun sambutan Hari Kebangsaan ke-64 peringkat Negeri Pahang tetap berlangsung meriah.

Sambutan diadakan di perkarangan Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) bermula pukul 8.30 pagi selepas keberangkatan tiba Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

Baginda kemudiannya menerima Lintas Diraja sebelum berkenan memeriksa pasukan kawalan kehormat utama, Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang dianggotai 103 pegawai dan anggota lain-lain pangkat.

Perbarisan diiringi pancaragam TUDM dengan seorang pegawai dan 40 anggota lain-lain pangkat pimpinan Leftenan Mohd Hanif Che Razak dan pegawai penyelaras perbarisan Mejer Mohd Zaki Mohd Noor.

Kemudiannya, baginda turut menyaksikan upacara menaikkan bendera oleh Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dari Pangkalan Tanjung Gelang, Kuantan disusuli lafaz ikrar dan laungan Merdeka diketuai Mejar Mohd Husni Saberi dari Batalian ke 12 Askar Melayu Diraja, Mekanize.

Menariknya, semasa hormat diraja, dua unit udara milik Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia iaitu pesawat Mi-17 dan Agusta A109E membuat lintas langsung dengan membawa Jalur Gemilang.

Perhatian kemudian dialihkan ke ruang udara setelah diperkenankan baginda untuk menyaksikan Lintas Hormat lima buah pesawat Sukhoi SU-30 MKM yang diterbangkan khas No. 12 Skuadron berpengkalan di Pangkalan Udara Gong Kedak, Kelantan. – K! ONLINE

Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:

MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI