fbpx

KPB Bajet 2022 tambah baik proses penyediaan bajet tahunan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tengku Zafrul

PUTRAJAYA – Kementerian Kewangan bersetuju untuk menerbitkan Kenyataan Pra-Bajet (KPB) iaitu KPB pertama dalam sejarah tanah air bagi Bajet 2022 sebagai salah satu usaha menambah baik proses penyediaan bajet tahunan.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, langkah itu bertepatan dengan amalan terbaik di peringkat antarabangsa iaitu KPB diterbitkan bagi meningkatkan ketelusan proses merangka inisiatif bajet tahunan, serta membina keyakinan awam terhadap pengurusan fiskal negara, terutamanya dalam kalangan pelabur.

Beliau berkata, KPB juga memberi gambaran awal berkenaan hala tuju, pendekatan yang diambil serta manfaat yang bakal dinikmati daripada Bajet 2022, yang akan dirangka berdasarkan tiga matlamat.

Menurutnya, matlamat itu ialah melindungi dan memulihkan kehidupan serta mata pencarian selain membina semula daya ketahanan negara serta memangkin pembaharuan.

Jelas Tengku Zafrul, di bawah matlamat berkenaan, Bajet 2022 akan meneruskan usaha pemulihan dalam memastikan negara berjaya keluar daripada kemelut pandemik, serta meneruskan agenda memulih kehidupan dan sektor ekonomi yang terjejas pasca-pandemik.

“Bajet 2022 akan memberi penekanan kepada usaha untuk membina semula daya ketahanan sistem kesihatan negara, mempertingkatkan infrastruktur digital dan teknologi terutamanya dalam sektor pendidikan dan menyediakan keperluan untuk negara beralih kepada sektor industri yang berproduktiviti tinggi berasaskan teknologi automasi.

“Bajet 2022 akan memastikan langkah pembaharuan dilaksanakan dengan memberi penumpuan kepada pencapaian Sustainable Development Goals (SDG), RMKe-12 dan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030,” katanya.

Sementara itu, Tengku Zafrul berkata, melalui penerbitan KPB, rakyat berpeluang meneliti beberapa penanda aras termasuk tinjauan ekonomi berdasarkan kepada senario ekonomi global, semakan ke atas prestasi Keluaran Dalam Negara Kasar dan unjuran ekonomi bagi tahun 2022 serta sasaran fiskal untuk 2021/2022. – K! ONLINE

Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:

MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI