fbpx
Tangkap layar mesej seorang wanita kepada peguam syarie yang tular di laman Twitter

Lelaki ‘taklik’ isteri hanya kerana cucuk vaksin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA – Tindakan seorang lelaki yang ‘menghukum’ jatuh talak kepada isterinya sekiranya wanita itu mengambil vaksin adalah bercanggah dengan hukum agama dan juga ketetapan yang telah dikeluarkan oleh kerajaan.

Ini kerana sebelum ini, Mesyuarat Khas Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam yang bersidang pada 3 Disember tahun lalu mengambil ketetapan bahawa hukum penggunaan vaksin Covid-19 adalah harus dan ia wajib.

Memetik laporan bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri sebelum ini juga memaklumkan penggunaan vaksin bagi melindungi manusia daripada dijangkiti penyakit berbahaya bukanlah perkara asing dalam perspektif syarak.

Sehubungan itu, Zulkifli menyeru kepada seluruh rakyat Malaysia terutama umat Islam agar patuh dan memberi kepercayaan penuh kepada kerajaan dalam menangani penularan pandemik Covid-19 menerusi penggunaan vaksin.

Terdahulu, seorang peguam syarie di laman Twitter berkongsikan kisah mengenai seorang isteri yang telah mengambil dos pertama vaksin Covid-19 secara ‘senyap-senyap’.

Menurut peguam dikenali sebagai @wafda_k, suami wanita itu tidak mahu mengambil vaksin berkenaan dan kebetulan mereka merupakan pasangan jarak jauh.

“Si isteri dalam dilema apabila ketika berborak dengan suaminya mengenai vaksin, si suami berkata jangan ambil vaksin.

“Suaminya pula berkata, jika wanita itu mengambil vaksin, maka jatuh talak kepada isterinya itu,” katanya yang membuatkan si isteri bingung dan mengajukan persoalan tersebut kepada peguam syarie.

Namun kata peguam itu, hanya Hakim Syarie sahaja yang boleh sabitkan sama ada jatuh talak ataupun tidak.

Susulan perkongsian itu, rata-rata pengguna Twitter mengecam tindakan lelaki antivaksin itu yang ‘menjatuhkan’ hukuman yang dianggap paling kejam kepada isterinya.

“Punya tak percaya vaksin, sanggup cakap macam tu, ingat kahwin ni main masak-masak ke?,” ciap @notyam_

Turut meninggalkan komen adalah seorang lagi pengguna dikenali sebagai @iszrynn98.

“Bila orang lelaki jenis ada masalah otak gunakan kuasa veto seolah akulah raja, aku suami, ringan sangat mulut lepastu gila talak.

“Jangan sampai menyesal sampai mental macam bekas suami aku sudah la, sampai aku pergi kubur pun dia ikut, setiap geri dia ‘follow’,” ciapnya.-K! ONLINE

Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:

MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392

Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);

KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214

Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929

POPULAR