fbpx
Gambar hiasan

‘Enam kali cuba bunuh diri’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – “Enam kali saya pernah cuba untuk membunuh diri, namun apabila terbayangkan wajah anak, saya membatalkan hasrat itu. Anaklah jadi penyelamat nyawa saya.”

Demikian luahan Lyn, 30, bukan nama sebenar berhubung kisah kemurungan yang dihada­pinya sejak beberapa bulan lalu.

Bekas petugas kesihatan swasta itu berkata, dia mengalami kemurungan yang teruk dan tekanan emosi selepas diabaikan suaminya sehingga hidup mereka menjadi porak-peranda.

“Saya faham tindakan (bunuh diri) ini adalah satu dosa besar. Bagaimanapun, bagi mereka yang mengalami kemurungan dan tekanan yang melampau, ia seolah-olah menjadi desakan dalam hati ini yang mahukan saya menamatkan riwayat.

“Saya pernah mengikat tali di dalam bilik air, namun hasrat untuk mencabut nyawa sendiri tiba-tiba terpadam apabila terbayangkan wajah anak,” katanya kepada Kosmo! semalam.

Kata ibu seorang anak berusia dua tahun itu, dia juga pernah memukul jari kaki sehingga berdarah berikutan naluri untuk mencabut nyawa sendiri itu terlalu kuat.

“Walaupun dua batang jari kaki telah berdarah teruk, tetapi saya tidak rasa kesakitan, seolah-olah kebal. Kesakitan pada hati ini lebih kuat. Orang mungkin tidak faham dengan apa yang cuba saya ceritakan.

“Untuk mendapatkan ban­tuan daripada pakar psikiatri pun saya bimbang dengan pandangan orang luar. Akibat kemurungan, berat badan saya daripada 55 kilogram (kg) telah merosot sehingga 40kg,” ceritanya.

Katanya lagi, dia mula me­nyedari perubahan diri sejak April lalu selepas suaminya yang bekerja sendiri tiba-tiba hilang punca pendapatan akibat terjejas dengan penularan Covid-19.

“Disebabkan itu, kami mula berpindah-randah untuk menyesuaikan dengan keadaan kewangan dan komitmen bulanan.

“Masalah kewangan yang dialami semakin serius apabila suami pula tidak mahu saya kembali bekerja untuk membantu keluarga, sebaliknya dia mengarahkan saya untuk menjaga anak sahaja.

“Banyak kali juga saya cuba berniaga makanan, tetapi dia tetap melarang,” katanya yang mempunyai raut wajah cantik.

Berita berkaitan: Sakit mental jadi pembunuh senyap

Lyn memberitahu, suaminya mempunyai sikap cemburu yang melampau dan bimbang lelaki lain akan memikatnya sekali gus menyukarkan dia mencari rezeki bagi me­ringankan beban ke­luarga.

Dia juga pernah berbincang dengan suami bagi menyelesaikan masalah yang dihadapi mereka termasuk mendapatkan pertolongan daripada pihak luar, namun tidak diendahkan, malah dia pula yang kerap menghilangkan diri.

“Kalau pulang ke rumah pun, suami langsung tidak pedulikan saya dan anak, malah barangan dapur pun tidak dibelinya. Anak pun terpaksa makan apa yang ada sahaja,” ujarnya.

Bagaimanapun, Lyn bersyu­kur apabila ahli keluarganya datang ke ibu negara untuk membantunya mendapatkan rawatan pakar psikiatri di hospital.

Dia berharap suaminya itu akan dapat berubah menjadi seorang lelaki yang lebih bertanggungjawab kepada keluarga walaupun sedang menghadapi masalah.

“Saya juga berharap orang lain yang mengalami masalah seperti ini agar mendapatkan bantuan orang yang dipercayai serta ahli keluarga,” rayunya.

Kosmo! semalam melaporkan gejala penyakit mental se­perti psikosis mampu bertindak di luar jangka termasuk mence­derakan dan membunuh diri pada bila-bila masa sahaja sekiranya tidak mendapat rawatan dengan kadar segera.

Masalah di tempat kerja, masalah keluarga, hilang pendapatan, penceraian dan kematian antara faktor yang menyumbang kepada penyakit mental.
Selain itu, penyakit mental juga boleh berlaku disebabkan faktor genetik selain ketagihan dadah dan alkohol.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN