fbpx
PENCAHAYAAN menjadikan ruang berona gelap tampak mewah dengan aura dramatik.

Cahaya terang bangkitkan seri ruang rona gelap

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

BAGI kebanyakan orang, mereka memilih warna-warna yang selamat seperti warna tanah dan pastel sebagai tema kediaman kerana dikatakan dapat menyerlahkan suasana seluruh kediaman.

Namun, pada masa ini semakin ramai yang bertindak berani dengan bermain rona gelap  dan garang menghiasi dinding dan keseluruhan kediaman.

Bagi mereka, rona-rona gelap bukan lagi menjadi satu alasan menyebabkan rumah kelihatan suram dan malap asalkan pandai mengolahnya menjadi lebih ‘hidup’.

Dalam hal ini, mereka bermain dengan cahaya yang terang bagi membangkitkan keceriaan dan seri kediaman.

 

———————————————————————————————————————————————————————————————————————–WARNA memainkan peranan penting dalam kehidupan kita termasuklah perihal dekorasi rumah kerana ia secara tidak langsung mempengaruhi mood penghuninya.

Rakyat Malaysia dilihat lebih selesa menggunakan rona-rona ‘selamat’ seperti pastel dan warna bumi sebagai tema rumah mereka kerana dikatakan mudah disuai padan dengan perabot serta item-item dekorasi lain.

Bagi pemilik rumah yang berpersonaliti berani, mereka lebih gemar memilih rona gelap kerana ingin cahaya serikan ruang rona gelap mewujudkan aura mewah dan menonjol.

Masyarakat di Barat juga lebih menyukai rona-rona gelap dan garang yang pada masa sama menyerlahkan personaliti berani serta bertenaga.

BUKAN sekadar cahaya lampu, cahaya semula jadi matahari juga perlu untuk membuatkan ruang didominasi rona gelap berseri-seri.

Menurut pereka hiasan dalaman MH Casa Decoration, Haziq Ammar, masyarakat kita sering salah anggap terhadap rona gelap atau garang yang dikhuatiri menjadikan suasana di dalam rumah gelap, suram atau panas.

“Sebenarnya, pencahayaan di dalam rumah adalah sangat penting jika ingin menggunakan rona-rona gelap agar suasana kelihatan ceria dan berseri-seri.

“Oleh itu, pemilik perlu bijak menyuaipadankan pencahayaan lampu seperti memasang lampu lebih banyak atau pemilihan jenis lampu cool white atau warm white yang bersesuaian dengan keluasan rumah serta sudut agar segenap ruang memperoleh cahaya yang mencukupi,” katanya.

Selain pencahayaan lampu, pencahayaan semula jadi iaitu matahari juga adalah sangat penting agar boleh menerangi ruang pada siang hari.

BAGI item-item dekorasi elakkan penggunaan warna yang senada dengan warna utama untuk menjadikan ruang tampak lebih menarik.

Jelas Haziq, untuk menghias rumah bertemakan rona gelap tidaklah sesukar yang difikirkan, sebaliknya mudah dan pemilik perlu bijak membuat pilihan dan suai padan.

“Terlebih dahulu, pemilik perlu mengetahui dan merancang konsep yang ingin disuntik ke dalam rumah atau ruang tertentu. Selepas itu, mulakan proses pemilihan warna dan reka bentuk perabot selain item dekorasi bersesuaian untuk digabungkan dengan rona gelap.

“Elakkan memilih perabot dan item dekorasi yang mempunyai rona senada dengan warna utama (gelap),” katanya.

Rona-rona gelap juga tidak mudah nampak kotor atau berhabuk berbanding warna pastel atau bumi tetapi ia bukanlah alasan untuk tidak menjaga kebersihan rumah.

PERMAINAN cahaya lampu mencetuskan aura tersendiri pada ruang gelap.

Paling penting rona gelap akan membangkitkan aura positif dan mengecas semula tenaga sebaik sahaja masuk ke dalam rumah selepas seharian penat bekerja.

Ujar Haziq, kebanyakan pelanggannya menyukai rona-rona gelap yang terdiri daripada hijau zamrud, biru gelap dan biru kelasi.

“Populariti warna biru semakin meningkat disebabkan trend terkini apabila terdapat pelbagai perabot dan item dekorasi yang menggunakan rona tersebut di pasaran,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN