fbpx

Dua lelaki ceroboh Pangkalan TUDM dicekup

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Dua suspek yang berjaya ditahan selepas menyusup masuk ke dalam Pangkalan TUDM Kuala Lumpur untuk melakukan jenayah. /FOTO IHSAN PDRM

KUALA LUMPUR – Tindakan dua lelaki menyusup masuk ke dalam Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Kuala Lumpur untuk melakukan jenayah akhirnya memakan diri apabila mereka ditahan polis semalam.

Timbalan Ketua Polis Daerah Brickfields, Superintendan Basri Sagoni berkata, kejadian disedari oleh Pengawal Pangkalan Udara setelah terlihat dua lelaki dalam keadaan mencurigakan di kawasan perumahan keluarga angkatan tentera kira-kira pukul 9.15 pagi.

“Kedua-dua suspek pada mulanya berjaya melarikan diri namun pemeriksaan lanjut di luar tembok lokasi kejadian telah menjumpai dua buah motosikal jenis Honda EX5 dan Honda Future yang disyaki digunakan oleh suspek.

“Turut ditemui adalah dua buah bekas berisi tembaga dan kabel elektrik yang disyaki diambil dari dalam kawasan pangkalan udara berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurut beliau, pihak polis yang dimaklumkan tentang kejadian telah berjaya membuat tangkapan ke atas kedua-dua suspek yang berusia 19 dan 35 tahun serta merampas dua buah telefon bimbit dan peralatan yang digunakan semasa melakukan jenayah.

“Kedua-dua suspek bagaimanapun tidak mempunyai sebarang rekod jenayah dan kes disiasat di bawah Seksyen 447 Kanun Keseksaan dan mereka akan dibawa ke hadapan Majistret Kuala Lumpur untuk permohonan reman di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah hari ini.

“Saksi awam yang mempunyai maklumat berkaitan kes ini dikehendaki hadir ke balai polis berhampiran untuk memberi keterangan,” ujar beliau. – K! ONLINE

 

Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:

MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 011-19598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI