PETALING JAYA – Rata-rata wanita tempatan menyifatkan perkahwinan mereka dengan warga asing merupakan jodoh selain menjadikan sikap romantik dan budiman antara kriteria yang telah menambat hati masing-masing untuk dijadikan pasangan hidup.
Meskipun mendapat pandangan sinis masyarakat kerana memilih warga asing, namun semua itu diketepikan dengan cara mencekalkan hati dan memekakkan telinga selain menegaskan kriteria suami bukan terletak pada bangsa tetapi sikap.
Bagi tauke restoran di Kubang Kerian, Kota Bharu, Suriati Azahari, 43, dia bertemu jodoh 19 tahun lalu dengan jejaka Pakistan, Ehsan Nullah Salozay, 47, selepas terpesona dengan lelaki itu yang rajin bekerja dan suka menabung.
Wanita dari Pasir Mas itu berkata, sebelum bernikah, suaminya berniaga kain di Segamat, Johor dan sering merantau bersendirian untuk mencari rezeki.
“Saya berkenalan dengan suami pada 2002 di sebuah kedai kain ketika saya pergi menziarahi datuk saudara di Kuantan, Pahang.
“Ketika itu saya sudah terpaut dan kami bertukar-tukar nombor telefon supaya senang berhubung. Pada mulanya saya sangsi juga, namun saya lihat dia nekad kumpul duit dan menabung untuk masuk meminang,” katanya kepada Kosmo!.

Tambahnya, mereka bernikah sebulan selepas mendapat restu ibu bapanya yang melihat keikhlasan Ehsan Nullah setelah tiga kali pemuda itu datang ke rumahnya.
Menurut Suriati, mereka kini dikurniakan lima cahaya mata berusia tujuh hingga 19 tahun dan kini bersama-sama menjalankan perniagaan dan membuka restoran di Kubang Kerian.
“Suami lakukan apa sahaja untuk membahagiakan saya dan keluarga dan buktinya dia membelikan saya sebuah rumah bernilai RM250,000 secara tunai,” katanya.
Ujar Suriati, memang masyarakat memandang sinis mengenai pilihannya tetapi menegaskan perkahwinan itu dibina atas dasar cinta.
“Orang lain boleh memandang sinis tetapi kami yang melalui kehidupan bersama. Perkara itu bukan terletak pada bangsa tetapi pada hati dan sikap individu itu,” katanya.
Di Selangor, seorang suri rumah, Shamsinar Othman, 37, mengakui sikap romantis dan budiman jurutera, Yusof Hindle Abdullah, 51, membuatkan dia tergoda dan sudi menerima lamaran lelaki British itu 10 tahun lalu.
“Kami berkenalan apabila suami antara pelanggan yang menginap di hotel tempat saya bekerja sebagai pengurus petugas. Saya setuju dengan lamarannya untuk menjadikan saya kekasih selepas melihat dia kuat bekerja dan pandai menghormati orang lain,” katanya yang berasal dari Alor Setar, Kedah.
Tambahnya, suaminya seorang yang sopan santun dan tidak pandai bermulut manis, namun sering membuat kejutan seperti memberi hadiah ketika mereka keluar sepanjang perkenalan dan selepas berkahwin.
Menurut Shamsinar, suaminya mula mendekati Islam sebelum berkenalan dengannya dan bukannya menukar agama kerana hendak bernikah dengannya.
“Berkat restu keluarga, kami telah dikurniakan tiga anak berusia antara setahun hingga tujuh tahun,” katanya.

Di Hulu Terengganu, Fatimah Salleh, 66, memberitahu, dia menganggap perkahwinan dengan suaminya, Ibrahim Moro, 63, dari Ghana sebagai jodoh yang tertulis dan tidak pernah merancang untuk mendapatkan zuriat campuran atau tujuan lain.
“Sudah 28 tahun kami bergelar suami isteri dan dikurniakan tiga anak yang serta seorang cucu perempuan berusia tujuh tahun. Sebelum berkahwin, suami merupakan jiran saya,” katanya yang menetap di Bukit Ara, Ajil.
Tambahnya, suaminya ketika itu seorang bapa tunggal dan sering meninggalkan dua anaknya yang berusia tiga dan empat tahun ketika keluar bekerja.
“Saya dan arwah emaklah yang menjenguk anak dia dan mungkin kerana sudah jodoh kami kemudian disatukan walaupun ketika itu rasa cinta belum ada,” katanya yang memberitahu itu merupakan perkahwinan keduanya.
Menurut Fatimah, mereka hanya mengenali hati budi masing-masing selepas berkahwin dan segalanya berjalan lancar kerana suaminya fasih bercakap dialek Terengganu kerana menetap di negeri itu sejak 1986 lagi.
Teruja timang anak darah campuran
GEORGE TOWN – Seorang usahawan mengakui perkahwinan dengan isterinya, seorang wanita dari Lombok Timur, Indonesia, sebagai perkara terbaik pernah dilalui sepanjang hidupnya.
Hussein Abdullah, 34 berkata, dia tidak menyangka perkenalan selama dua bulan dengan Harmi Wijayanti, 34, menerusi laman sosial Facebook awal tahun lalu merupakan jodoh buatnya yang bernikah pada Oktober lepas.
“Dia seorang yang penuh dengan kasih sayang dan kejujuran membuatkan saya rasa sangat bertuah dan saya terus memilihnya sebagai suri hidup.
“Keistimewaan Itu yang membuatkan saya tertarik dan terus menikahinya. Saya tidak sabar untuk menimang cahaya mata sulung pada Februari tahun depan,” katanya.

Tambahnya, pernikahan itu dianggap sama dengan pasangan tempatan lain cuma dia tidak dapat pulang ke kampung halaman isteri kerana Covid-19.
Sementara itu, seorang pegawai pemasaran syarikat swasta di negeri ini yang hanya mahu dikenali sebagai Azrina, 39, pula memberitahu, dia tidak pernah menyesali dengan keputusan mengahwini pasangan dari Pakistan enam tahun lalu.
“Saya mengenali pasangan daripada seorang rakan ketika makan tengah hari di restoran miliknya. Ramai juga yang menentang kerana bimbang suami tidak bertanggungjawab.
“Ada juga khuatir yang saya akan dijadikan hamba seks pasangan warga asing nanti. Bagaimanapun, sangkaan itu memang tidak tepat. Sehingga kini, hubungan kami menjadi bertambah intim biarpun belum dikurniakan cahaya mata,” ujarnya.














