fbpx

Berdamai tanpa syarat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ahli politik tanpa mengira parti perlu menyahut seruan Perdana Menteri untuk sama-sama menggembleng tenaga bagi menangani penularan Covid-19 dan berdamai untuk Keluarga Malaysia. – gambar hiasan

PETALING JAYA – Semua ahli politik tanpa mengira parti perlu menyahut seruan perdamaian oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Pensyarah Kanan Kolej Undang-Undang Pengajian Kerajaan dan Antarabangsa Universiti Utara Malaysia, Dr. Kamarul Zaman Yusoff berkata, rakyat tidak lagi mampu berdepan kemelut politik.

“Tawaran kerjasama rentas parti politik itu boleh dikatakan satu seruan perdamaian untuk menyatupadukan usaha semua pihak dalam menangani pandemik Covid-19.

“Ini satu seruan yang baik dan selaras dengan titah Yang di-Pertuan Agong. Ini juga yang pernah ditawarkan bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin tetapi tidak disambut,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Ismail Sabri dalam ucapan pertama beliau sebagai Perdana Menteri kelmarin mempelawa pemimpin pembangkang ­menganggotai Majlis Pemulihan Negara.

Beliau turut menawarkan ruang kepada kepimpinan parti pembangkang untuk menyertai Jawatankuasa Khas Menangani Covid-19.

Dalam pada itu, Kamarul Zaman berkata, istilah Keluarga Malaysia digunakan Perdana Menteri bersifat inklusif dalam menggambarkan kerajaan yang prihatin terhadap semua.

Sementara itu, penganalisis politik daripada Universiti Sains Malaysia, Dr. Sivamurugan Pandian berkata, seruan kerjasama ren­tas parti politik perlu disambut baik tanpa sebarang syarat.

“Ini adalah seperti titah Yang di-Pertuan Agong yang harus dihormati. Ini adalah sebuah tanggungjawab bersama semua pihak,” katanya.

Dalam pada itu, kata beliau, istilah Keluarga Malaysia me­nunjukkan Ismail Sabri mahu memastikan beliau merupakan Perdana Menteri untuk semua tanpa mengira agama dan bangsa.

Jelas beliau, Keluarga Malaysia adalah amat penting dan merupakan aset kepada negara dalam usaha memulihkan semula keadaan negara daripada cengkaman Covid-19.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI