WAWANCARA minggu ini membawakan Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Berhad, Riad Asmat yang bercerita bagaimana syarikat penerbangan murah negara itu mendepani cabaran dan rintangan ketika seluruh dunia masih dibelenggu pandemik Covid-19.
Menurutnya, seperti syarikat penerbangan lain di dunia, AirAsia turut terkesan dengan pandemik Covid-19 yang melanda dunia sejak dua tahun lalu.
Syarikat itu terpaksa mengambil langkah perlu termasuk memberhentikan sebahagian kakitangan untuk terus bertahan.
Bagaimanapu, pengurusan syarikat tidak menekan butang panik dan terus melangkah ke depan dengan mempelkenalkan beberapa cadang bisnes lain bagi memastikan ‘nyawa’ syarikat tidak terhenti begitu sahaja.
———————————————————————————————————————————————————————————————————————–
SEKATAN perjalanan kepada orang ramai sewaktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) secara berfasa yang dibuat bagi memutuskan rantaian Covid-19 memberi kesan besar kepada pelbagai sektor ekonomi, terutamanya syarikat yang terbabit dalam industri perkhidmatan perjalanan seperti penerbangan.
Industri penerbangan dunia mengalami kerugian besar apabila banyak syarikat mengecilkan operasi, selain melakukan pemberhentian pekerja atau cuti tanpa gaji kepada sebahagian staf.
Perkara sama turut dilakukan penyedia penerbangan tambang murah negara, AirAsia Berhad (AirAsia) bagi memastikan syarikat itu terus bertahan.
AirAsia dilihat memberi tumpuan kepada cabang perniagaan baharu, terutamanya melibatkan teknologi digital dalam usaha mengurangkan kebergantungan terhadap sektor penerbangan.
Bagi mengulas lebih lanjut mengenai perkara itu, wartawan Kosmo! Ahad, Mohd. Shazwan Yusop menemu bual Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Berhad, Riad Asmat baru-baru ini.
KOSMO! AHAD: Covid-19 melanda dunia hampir dua tahun lalu, banyak syarikat penerbangan dunia terkesan termasuk yang suatu ketika sangat gah, kini gulung tikar kerana tidak dapat menampung kos operasi dan membayar gaji staf. Boleh tuan jelaskan, sejauh mana pandemik ini memberi kesan kepada AirAsia?
RIAD: Alhamdulillah, buat masa ini, kami masih beroperasi walaupun terhad kepada penerbangan penting.
Banyak kesan terpaksa kami hadapi sejak Covid-19 melanda dunia, terutama kekurangan pendapatan secara drastik akibat operasi penerbangan terhenti.
Pada masa sama, kami terus mempergiatkan usaha mendapatkan suntikan sama ada dari segi pelaburan ekuiti ataupun pinjaman.
Lebihan tenaga kerja di operasi penerbangan dihantar ke bahagian digital untuk dilatih semula.
Walaupun tidak terbang untuk tempoh lama, pesawat kami terus diselenggara dengan sempurna bagi memastikannya dalam keadaan baik.
Kami yakin pemulihan industri penerbangan dan pelancongan akan tiba tidak lama lagi, memandangkan proses vaksinasi pantas di rantau ini.

Berapa jumlah kakitangan AirAsia yang diberhentikan, dipotong gaji atau diberi cuti tanpa gaji setakat ini akibat Covid-19?
Sejumlah kakitangan kami daripada pelbagai jabatan terpaksa diberhentikan berikutan pandemik.
Keputusan ini bukan dibuat secara sembarangan, tetapi dengan mengambil kira pelbagai faktor seperti kesesuaian untuk mereka dipindahkan ke jabatan lain sebelum perkhidmatan penerbangan kembali beroperasi.
Setiap syarikat mengambil langkah untuk menyelamatkan syarikat dan kakitangan dengan cara terbaik dan kami tidak terkecuali.
Paling penting, kami tidak menyisihkan mereka begitu sahaja.
Kami sediakan pelbagai bentuk bantuan menerusi bahagian sumber manusia seperti mencari dan memadankan pekerjaan di luar sana serta menyalurkan maklumat berkaitan bantuan kewangan.
AirAsia telah mengorak langkah memperkenalkan bisnes lain diluar bidang penerbangan ketika ini. Bagaimana syarikat ini boleh berfikir ke arah itu ketika banyak pihak buntu untuk memulakan cabang perniagaan baharu?
Kepelbagaian cabang perniagaan dan transformasi digital Airasia sebenarnya telah bermula sebelum pandemik lagi iaitu pada 2018. Harus diingat bahawa AirAsia sejak mula sudah merupakan syarikat digital.
Kami sentiasa menyasarkan keperluan untuk mempelbagaikan cabang perniagaan dan menggunakan semua aset merangkumi data, infrastruktur, teknologi dan kepakaran yang ada.
Pandemik telah mempercepatkan proses transformasi digital kami. Selain perniagaan digital sedia ada, kami juga merancang beberapa lagi perniagaan baharu termasuk perkhidmatan e-hailing.
Pada awal tahun ini, kami telah menerima suntikan dana daripada pelabur-pelabur terkemuka tempatan.
Kami juga mengumumkan kerjasama strategik dengan Gojek dan mengambil alih operasi mereka di Thailand.
Ini membuktikan, keyakinan pelabur termasuk pesaing kami sendiri terhadap transformasi digital kami yang telah meletakkan nilai AirAsia SuperApp pada AS$1 bilion (RM4.2 bilion).
Sejauh mana penerimaan orang ramai terhadap bisnes baharu AirAsia seperti Santan dan AirAsia Food, memandangkan ia mempunyai banyak persaingan di luar sana?
Alhamdulillah, perniagaan di bawah AirAsia Digital yang ditawarkan seperti Airasia Food, Airasia Fresh, AirAsia Beauty, AirAsia Shop, BigPay, serta restoran Santan mendapat sambutan memberangsangkan.
Secara umumnya, apa yang kami lakukan di bidang digital adalah selari dengan falsafah asal AirAsia iaitu memberikan kebebasan memilih kepada pengguna di luar sana.
Sebagai contoh, AirAsia Food menawarkan caj komisen terendah dalam industri dengan hanya 15 peratus berbanding platform penghantaran makanan lain.
Ini membolehkan peniaga menjana lebih pendapatan walaupun dengan harga lebih rendah kepada pelanggan.
Perkhidmatan AirAsia Food kini boleh didapati di Lembah Klang, Kota Kinabalu (Sabah), Pulau Pinang, Seremban (Negeri Sembilan) dan bakal menembusi pasaran Ipoh (Perak), Pulau Pinang dan Johor Bahru tidak lama lagi.
Restoran Santan yang beroperasi secara francais juga mendapat sambutan dan mampu menyediakan peluang pekerjaan kepada sebahagian bekas kakitangan penerbangan.

Jika keadaan negara kembali pulih nanti, adakah mereka yang diberhentikan termasuk juruterbang akan diberi peluang kembali berkhidmat di AirAsia?
Agak sukar untuk kami menetapkan masa bagi kami berbuat demikian, tetapi ia sesuatu yang sentiasa dipandang serius.
Kami akui, kakitangan yang terpaksa dilepaskan ini kaya dengan pengalaman dan mempunyai pengetahuan luas dalam industri penerbangan.
Jadi, jika keadaan kembali pulih dan kami memerlukan pekerja, semua butiran mereka disimpan rapi dan kami harap dapat membawa mereka kembali ke AirAsia.
Terdapat juruterbang yang diberhentikan berniaga makanan dengan membuka gerai di tepi jalan. Dalam hal ini, mungkin negara kerugian dalam kemahiran mereka yang tiada pada orang lain. Boleh tuan ulas sedikit perkara ini?
Kami menyedari perkara ini, namun kita harus faham situasi semasa dan ekonomi negara secara keseluruhan.
Kami juga cuba memberikan sokongan dan galakan kepada perniagaan kecil-kecilan oleh sebilangan kakitangan kami ini dengan membantu mempromosikan produk dan perniagaan mereka di platform Airasia SuperApp seperti AirAsia food.
Saya yakin operasi penerbangan akan pulih tidak lama lagi.
Kemahiran para pekerja kami dalam industri ini tidak akan hilang dan berkekalan sepanjang umur, cuma harus diasah menerusi latihan recurrent atau requalification apabila peluang untuk ‘terbang’ tiba kelak.
Kerajaan telah mengumumkan kemudahan bagi individu yang mendapat vaksin lengkap termasuk pasangan suami isteri jarak jauh dibenarkan merentas negeri untuk bertemu pasangan masing-masing. Adakah ini satu berita baik buat AirAsia?
Sudah tentu kami mengalu-alukan keputusan kerajaan mengenai kelonggaran ini dan sentiasa bersedia bagi memenuhi permintaan.
Pembukaan semula sempadan negeri dinanti-nantikan semua orang.
Saya ingin tekankan di sini bahawa pesawat penerbangan merupakan salah satu mod pengangkutan paling selamat di dunia.
Ini kerana, reka bentuk pesawat seperti Airbus A320 dan A321 kami mempunyai ciri-ciri khusus terutamanya dari segi pengaliran udara dalam kabin dan dilengkapi dengan penapis udara High Efficiency Particulate Air.
Ia menapis 99.99 peratus virus dan bakteria dari udara sebelum dilepaskan semula ke kabin.
Pelbagai penambahbaikan dan inovasi terbaharu akan diperkenalkan apabila kami mula beroperasi selepas sekatan perjalanan dimansuhkan.
Antara persediaan kami adalah untuk memastikan kakitangan divaksin. Proses ini sedang berlangsung dan berharap untuk mencapai objektif ini dalam masa terdekat.

Berdasarkan pengalaman AirAsia yang sentiasa memikirkan sesuatu demi kelangsungan bisnes, boleh tuan beri sedikit nasihat mereka yang cuba bangkit akibat pandemik Covid-19?
Walaupun pandemik ini masih berterusan, saya ingin nasihatkan semua orang untuk kekal positif.
Kami di AirAsia turut terkesan sehingga terpaksa berubah mengikut keadaan dan situasi semasa.
Memang tidak mudah, tetapi dengan kerjasama dan semangat, kami berjaya mempelbagaikan bisnes.
Kami mempunyai pelbagai perniagaan digital yang boleh disertai oleh pengusaha tempatan dan kecil-kecilan seperti AirAsia Food, AirAsia Fresh dan AirAsia Shop.
Bagi peniaga tempatan terutama dalam industri makanan dan minuman yang terkesan akibat pandemik, saya mengalu-alukan mereka mendaftar dengan AirAsia Food yang dapat membantu mengembangkan perniagaan kerana platform ini mengenakan caj komisen terendah dalam pasaran.
Peniaga makanan dan minuman yang berminat untuk menyertai platform AirAsia Food hanya perlu mengisi borang dan mereka akan dihubungi oleh pasukan kami.














