fbpx

Real tawar €120 juta buat Mbappe

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MBAPPE (kanan) dikatakan mahu berhijrah menyertai pasukan baharu selepas PSG menandatangani khidmat Messi baru-baru ini. – AFP

MADRID – Gergasi Sepanyol, Real Madrid dilaporkan sedia menawarkan tawaran lumayan bernilai €120 juta (RM599.85 juta) untuk mendapatkan bintang Paris Saint-Germain (PSG), Kylian Mbappe sebelum jendela perpindahan ditutup pada 31 Ogos ini.

Los Blancos berharap harga tersebut mampu meyakinkan PSG untuk melepaskan pe­nyerang prolifik berusia 22 tahun itu yang telah mendedahkan hasratnya mahu berhijrah mencari angin baharu musim ini.

Ia susulan kehadiran bekas ­kapten Barcelona yang juga pemenang enam Ballon d’Or, Lionel Messi mengikat kontrak selama dua tahun bersama PSG.

Real percaya Mbappe yang akan tamat kontrak dengan PSG tahun depan, mampu memainkan watak utama, sekali gus me­ngulangi impak pernah ditunjukkan Cristiano Ronaldo sebelum berhijrah ke Juventus tiga tahun lalu.

Bagi memastikan Real mempunyai dana yang mencukupi, skuad bimbingan Carlo Ancelotti itu bercadang menjual perancang tengah Norway, Martin Odegaard pada harga dianggarkan bernilai €40 juta (RM199.95 juta).

Ia pastinya menarik minat Arsenal yang mahukan khidmat bekas pemain pinjaman musim lalu itu selepas pemain tengah mereka, Joe Willock menyertai Newcastle United secara tetap dengan nilai £25 juta (RM146.88 juta).

Justeru, Real berharap urusan perpindahan itu diselesaikan segera bagi membolehkan ­Mbappe dapat diturunkan ­beraksi dalam saingan La Liga selepas membuka tirai saingan musim ini menentang Deportivo Alaves awal pagi semalam.

Sebagai rekod, Mbappe telah meledak 132 gol daripada 172 penampilan dalam semua kejohanan sejak menyertai PSG daripada AS Monaco dengan nilai perpindahan €180 juta (RM899.77 juta) pada 2017. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI