fbpx
AZIZULHASNI berharap kejayaan yang diraihnya akan menjadi inspirasi buat atlet generasi muda di Malaysia.

Azizulhasni terima anugerah ketiga MBR

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JAGUH berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang terus menerima penghargaan apabila namanya terpahat dalam Malaysia Book of Records (MBR) selepas memenangi pingat perak pada Sukan Olimpik Tokyo 2020 baru-baru ini.

Azizuhasni yang terkenal dengan julukan The Pocket Rocketman menerima anugerah itu sebagai rakyat Malaysia pertama yang merangkul pingat perak dalam acara berbasikal trek pada Sukan Olimpik.

Ini adalah kali ketiga nama anak kelahiran Dungun, Terengganu itu tercatat dalam MBR memandangkan sebelum ini beliau menjadi rakyat Malaysia pertama memenangi pingat gangsa pada Sukan Olimpik Rio 2016 serta muncul juara dunia pada 2017.

Atlet berusia 33 tahun itu nyata gembira dengan anugerah tersebut selain berharap kejayaannya mampu menjadi inspirasi buat atlet-atlet lain untuk berjaya.

“Saya sangat gembira dengan penghargaan ini dan terima kasih kepada MBR kerana mengiktiraf pencapaian saya pada Olimpik. Saya harap ia mampu menjadi inspirasi buat atlet di Malaysia serta semua pihak di luar sana.

“Pengiktirafan seperti ini bermakna saya perlu bekerja lebih keras lagi bagi mendapatkan satu lagi pingat pada Sukan Olimpik Paris tiga tahun lagi,” katanya pada majlis penyerahan sijil secara maya hari ini.

Sementara itu, Ketua Pegawai Operasi (COO) MBR, Christopher Wong mengakui berbesar hati untuk menyenaraikan nama Azizulhasni buat kali ketiga dalam MBR.

“Bagi pihak MBR, saya dengan bangganya ingin mengumumkan Azizulhasni telah disenaraikan dalam MBR buat kali ketiga. Kali ini, beliau diiktiraf atas kejayaan memenangi pingat perak pertama menerusi sukan berbasikal,” ujarnya. – K! ONLINE

POPULAR