fbpx

Dilema laksana kelas bersemuka pada 1 September

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

JIKA mengikut perancangan, semua sekolah akan dibuka secara berperingkat-peringkat untuk sesi Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) secara bersemuka mulai 1 September ini dan ia hanya tiga minggu dari sekarang.

Jujurnya, ramai yang mahukan sesi PdP segera dilaksanakan khususnya kepada pelajar yang terlibat dengan peperiksaan, namun dilemanya ialah situasi pandemik Covid-19 kelihatannya semakin meruncing yang mungkin boleh merencatkan hasrat itu.

Bagi pihak Kementerian Pendidikan, mereka telah mengambil langkah aktif untuk memastikan semua guru, pentadbir serta kakitangan sokongan di sekolah menyempurnakan program vaksinasi masing-masing untuk tujuan tersebut.

Bagaimanapun, program vaksinasi itu tidak melibatkan pelajar dan situasi tersebut menimbulkan kegusaran dalam kalangan ibu bapa lebih-lebih lagi ketika angka kematian ketika ini mencecah 200 orang setiap hari, manakala kes harian pula sekitar 20,000.

Apa yang lebih menggusarkan ialah penularan varian Delta yang sudah berada di negara kita. Berdasarkan kajian, pesakit yang dijangkiti varian yang mudah merebak itu adalah dua kali ganda berkemungkinan dimasukkan ke hospital berbanding varian lain.

Persoalannya sekarang, bersediakah kita meletakkan para pelajar dalam keadaan berisiko terdedah kepada bahaya jangkitan pandemik ini dengan membenarkan mereka ke sekolah untuk memulakan sesi persekolahan secara bersemuka pada 1 September nanti?

Berdasarkan rekod Kementerian Kesihatan, lebih 80 peratus daripada keseluruhan kes baharu yang dilaporkan setiap hari adalah melibatkan pesakit yang tidak mempunyai sejarah vaksin, manakala para pelajar kita yang akan ke sekolah nanti boleh dikatakan kesemuanya belum divaksin.

Kecualilah, pada ketika itu negara telah mencapai imuniti kelompok dengan 70 hingga 80 peratus daripada keseluruhan rakyat telah melengkapkan pengambilan dua dos vaksin.

Situasi ini sebenarnya mencetuskan dilema kepada kita semua. Sesi PdP yang dirancang Kementerian Pendidikan mulai 1 September nanti sebenarnya amat penting kepada masa depan pelajar, namun pada masa yang sama situasi pandemik tidak pula menunjukkan tanda-tanda untuk reda.

Kita sedar, ramai dalam kalangan pelajar termasuk mereka yang tidak menduduki peperiksaan begitu bersemangat untuk kembali ke sekolah kerana proses pembelajarannya lebih lancar dan senang difahami, tetapi situasi semasa bagai tidak menyebelahi mereka.

Kita masih ada tiga minggu sebelum sebarang keputusan sama ada sesi persekolahan secara PdP yang ditetapkan pada 1 September ini dapat diteruskan atau perlu diubah kerana situasi yang tidak mengizinkan.

Apa pun keputusannya nanti, ia mestilah menjurus kepada matlamat pelajar tidak akan tercicir dalam pelajaran dan pada masa sama mereka tidak terdedah kepada risiko penyakit berbahaya. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI