fbpx

Duda berang bakar rumah sendiri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Che Som menunjukkan rumah diduduki anaknya yang terbakar di Kampung Selengkoh Tengah,Yan kelmarin.

YAN – Gara-gara lambat diberikan pemetik api, seorang duda naik angin lalu membakar rumahnya sendiri dalam kejadian di Kampung Selengkoh Tengah di sini kelmarin.

Dalam kejadian pada pukul 8.30 malam itu, lelaki berusia 51 tahun tersebut dipercayai membakar sehelai kain buruk sebelum memasukkannya ke dalam almari pakaian sehingga mencetuskan kebakaran.

Ibunya, Che Som Hashim, 71, berkata, sebelum kejadian, dia mendengar anak kedua daripada lima beradik itu menjerit me­minta pemetik api pada pukul 7.50 malam.

Cerita warga emas itu, dia dan suaminya yang berusia 77 tahun bagaimanapun tidak mengendahkan permintaan anaknya ke­rana sedang membaca al-Quran.

“Dia kemudian keluar dari rumah kami dan menuju ke rumah­nya yang terletak berhampiran.

“Kemudian dia menjerit sekali lagi meminta pemetik api, saya tak tahu apa tujuannya, jadi saya ambil dan serahkan kepadanya,” katanya ketika ditemui Kosmo! Ahad semalam.

Che Som sayu melihat bahagian bawah rumah anaknya yang terbakar di Kampung Selengkoh Tengah, Yan, Kedah kelmarin.

Menurut Che Som, sebaik mendapat pemetik api, anaknya naik ke tingkat atas dan membakar sehelai kain buruk sebelum memasukkannya ke dalam ­almari pakaian.

Cerita wanita itu lagi, tindakan anaknya itu telah mencetuskan kebakaran dan api semakin marak seterusnya membakar dinding rumah.

“Saya segera memaklumkan kejadian ini (kebakaran) kepada suami. Anak saya pula lari ke kawasan semak di belakang rumah kami,” ujarnya.

Kejadian itu me­ngakibatkan bahagian atas, bilik bawah serta dapur rumah yang dibina bersama suaminya itu musnah. Suspek kemudian diberkas dengan bantuan penduduk kampung.

Suspek yang mempunyai empat orang anak tinggal seorang diri selepas berpisah dengan isterinya pada Mac lalu.

Dia juga mengalami kemurungan dan terlibat dengan pe­nyalahgunaan dadah.

Sementara itu, Pegawai Ope­rasi Bomba, Pegawai Bomba Kanan Md. Radzi Abd. Talib membe­ritahu, pihaknya me­nerima panggilan pada pukul 9.18 malam kelmarin dan api dapat dikawal dalam masa 45 minit.

“Kira-kira 70 peratus rumah daripada struktur batu dan kayu itu musnah terbakar. Punca kebakaran dan jumlah kerugian bagaimanapun masih dalam siasatan,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Yan, Deputi Superinten­dan Shahnaz Akhtar Haji mengesahkan suspek yang merupakan penagih dadah tegar ditahan untuk membantu siasatan.

Kes disiasat mengikut Sek­syen 436 Kanun Keseksaan ke­rana khianat guna api.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI