fbpx

Kerajaan PN bergolak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PRESIDEN UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi (tengah) mengadakan sidang akhbar secara maya mengenai keputusan parti yang dibuat selepas Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi petang semalam. – MEDIA UMNO

PETALING JAYA – Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO sebulat suara menarik balik sokongan terhadap kerajaan Perikatan Nasional (PN) dan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin selepas dilihat gagal mentadbir negara.

Presidennya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, keputusan tersebut dibuat sebagai menzahirkan kesetiaan tidak berbelah bahagi kepada Yang di-Pertuan Agong selain bantahan terhadap kerajaan yang didakwa ingkar kepada titah Seri Paduka Baginda.

“Bagi menzahirkan kesetiaan tidak berbelah bahagi kepada Yang di-Pertuan Agong, maka Maj­lis Kerja Tertinggi (MKT) sebulat suara bersepakat untuk menarik balik sokongan terhadap Kerajaan PN dan Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku Perdana Menteri.

“Tan Sri Muhyiddin Yassin mesti mengambil tanggungjawab atas kegagalan dan keingkaran kerajaan pimpinan beliau yang menyanggah titah Yang di-Pertuan Agong dengan meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri secara terhormat,” katanya pada sidang akhbar secara maya selepas mesyuarat MKT UMNO semalam.

Tambah Ahmad Zahid, surat Akuan Ahli-Ahli Parlimen UMNO yang bersama-sama menarik sokongan tersebut sudah dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong sebagai bukti kerajaan PN sudah hilang soko­ngan majoriti.

“Surat Akuan Ahli-Ahli Parlimen UMNO yang mencukupi ang­ka bagi menzahirkan penarikan sokongan terhadap Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri telah pun dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong.

“Ini sekali gus menunjukkan kepimpinan beliau sudah hilang majoriti dan keabsahan selaku Ketua Kerajaan,” jelasnya.

Menurutnya, UMNO juga menolak langkah kerajaan PN yang mengumumkan pembentangan usul berkaitan Ordinan Darurat untuk dibahas di Parlimen pada sidang Dewan Rakyat yang dija­dual pada September nanti.

“Kenyataan terbaharu Perdana Menteri hari ini (semalam), tidak menjernihkan masalah bahkan menyerlahkan kekhilafan kerajaan yang jelas telah menyanggah titah Yang di-Pertuan Agong.

“Malah, ia juga dilihat mempersendakan baginda, yang hakikatnya sudah beberapa kali menitahkan untuk semua Ordinan Darurat dibahaskan dan diungkaikan sebelum 1 Ogos lagi bukan September 2021, sejajar dengan Perkara 150(3) Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

Pada sidang akhbar tersebut, antara MP UMNO yang hadir adalah, Ahli Parlimen Pekan, Datuk Seri Najib Tun Razak, Datuk Seri Azalina Said Othman (Penggerang), Datuk Mohd. Nizar Zakaria (Parit), Datuk Seri Azeez Abdul Rahim (Baling), Tan Sri Noh Omar (Tanjung Karang).

Selain itu, Datuk Ahmad Nazlan Idris (Jerantut), Datuk Ahmad Jazlan Yaakub (Machang), Tengku Razaleigh Hamzah (Gua Musang), Ramli Mohd. Nor ­(Cameron Highlands) serta Datuk Seri Ahmad Maslan (Pontian).

Pada 8 Julai lalu, Ahmad Zahid telah mengumumkan telah menarik balik sokongan terhadap Muhyiddin dan mendesaknya supaya berundur.

Ketetapan itu diambil berpandukan tujuh kegagalan kerajaan PN antaranya menangani pandemik Covid-19, mempertahankan sistem demokrasi dan menguruskan bantuan kepada rakyat secara berkesan. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI