fbpx

Siti Nordiana saman Lan Solo, Syura lima sekawan RM2.5 juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
BERMULA dengan cakap belakang, kini pergaduhan Siti Nordiana bersama Lan Solo, Syura dan lima individu lain bakal dibicarakan di mahkamah.

PETALING JAYA – Pertelingkahan penyanyi Siti Nordiana bersama lima sekawan termasuk Lan Solo dan Syura Badron kini memasuki episod baharu apabila menfailkan saman berjumlah RM2.5 juta dan pernyataan tuntutan permohonan maaf secara terbuka kepada lima defendan terlibat.

Perkara tersebut disahkan peguam dilantik penyanyi lagu Angkara itu Abang Azlan Abang Ariffin.

Dalam saman tersebut,  Abang Azlan dari Abang Azlan & Associates berkata, anak guamnya, Siti Nordiana telah menuntut penerbitan permohonan maaf menerusi siaran akhbar, Instagram dan Facebook live serta RM500,000 daripada setiap defendan iaitu Lan, Syura, isteri Lan iaitu Nur Sheila, jurusolek Aida G dan Pegawai Perhubungan Awam FMC, Sam Samin.

“Dalam writ saman yang dihantar secara e-mel semalam, beberapa perkara telah dinyatakan iaitu permohonan maaf secara terbuka dalam media sosial dan terbitan akhbar serta tuntutan amaun ganti rugi RM500,000 daripada setiap defendan yang secara keseluruhannya berjumlah RM2.5 juta. 

Selain itu, terdapat juga tiga lagi tuntutan iairu ganti rugi teruk, ganti rugi teladan dan ganti rugi khas yang akan dinilai serta ditentukan oleh pihak mahkamah,” katanya.

Mengulas mengenai jumlah ganti rugi yang semakin bertambah daripada RM200,000 kepada RM500,000, Azlan memberitahu jumlah tersebut bertukar kerana fitnah mengenai isu antara mereka masih aktif diperkatakan dalam media sosial sehingga hari ini.

“Sebelum ini RM200,000 itu dinyatakan dalam tuntutan permohonan maaf pertama pada Julai lalu namun sehingga kini pihak kami tidak menerima sebarang kenyataan penafian daripada pihak mereka.

“Jadi, RM500,000 ini sebagai ganti rugi kerana masih tiada permohonan maaf atau penafian daripada pihak mereka. Hal ini melibatkan fitnah yang masih berleluasa dalam media sosial,” ujarnya.

Dalam pada itu, ketika ditanya sama ada jumlah tuntutan tersebut akan bertambah atau tidak, Azlan memberitahu semuanya akan bergantung terhadap keputusan mahkamah kelak.

“Selepas perbicaraan nanti, pihak mahkamah akan tentukan sama ada Siti Nordiana layak menerimanya atau jumlah tuntutan tersebut juga akan dikurangkan.

“Insya-Allah, sesi pengurusan kes akan dijalankan secara virtual melibatkan saya dan pihak peguam lima defendan dengan pihak Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada 9 Ogos depan,” katanya lagi.

Sementara itu, peguam mewakili lima defendan terbabit iaitu Alan Razak dari Tetuan Azlan Razak & Associates turut mengesahkan pihaknya telah menerima writ saman tersebut daripada pihak plaintif (Siti Nordiana).

“Saya mengesahkan kesemua anak guam menerima writ saman dan pernyataan tuntutan daripada peguam cara plaintif (Siti Nordiana) semalam.

“Melalui sesi pada 9 Ogos depan, mahkamah akan meminta peguam-peguam untuk kenal pasti kebarangkalian untuk menyelesaikan kes di luar mahkamah tanpa perlu melalui perbicaraan penuh,”katanya kepada Kosmo! Online hari ini.

Dalam kenyataan sama, Alan turut memngesahkan Siti Nordiana juga menuntut ganti rugi khas, ganti rugi teruk dan ganti rugi teladan menerusi pernyataan tuntutan tersebut.

Dalam laporan Kosmo! sebelum ini, pelakon drama Dia Semanis Honey itu menuntut Lan, Syura, isteri Lan iaitu Nur Sheila, Pegawai Perhubungan Awam FMC, Sam Samin dan jurusolek, Aida G untuk membuat permohonan maaf secara terbuka dalam tempoh 48 jam serta membayar RM200,000 setiap seorang kepadanya.

Namun, kelima-lima individu itu gagal berbuat demikian pada tempoh yang diberikan.

Sebagai info, kemelut antara Siti Nordiana dengan lima sekawan itu bermula Lan dan Syura mendedahkan konflik yang berlaku antara mereka dengan Siti Nordiana menerusi sesi Instalive pada 20 Julai lalu.

Menerusi sesi tersebut, Sheila dan Lan mengakui terkilan dengan Siti Nordiana serta pengurusnya, Anas kerana sering mengungkit perihal soal bayaran makanan.

Sementara itu, Syura pula mendakwa dia dimalukan oleh Siti Nordiana dan pengurusnya, Anas sehingga menyebabkan ada pihak produksi enggan memberikan tawaran kerja kepadanya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI