fbpx
JELAS Dr. Zainal Ariffin, rakyat kini bukan sahaja letih, tetapi bosan selain mengalami kesan negatif dalam kehidupan sosial, ekonomi dan mental ekoran kes yang semakin tinggi. - FOTO SHAHJEHAN MAAMIN

Varian Delta ganas, lambat rawat penyebab ramai mati

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

WAWANCARA minggu ini membicarakan kes kematian akibat Covid-19 di negara ini semakin meningkat hingga mencecah ratusan nyawa setiap hari dan ini amat membimbangkan semua pihak.

Ia disebabkan pelbagai faktor seperti penularan varian Delta terbaharu lebih ganas, selain pesakit lambat dibawa ke hospital untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Ikuti wawancara bersama Presiden Persatuan Pakar Perubatan Kesihatan Awam Malaysia (PPPKAM), Datuk Dr. Zainal Ariffin Omar berhubung isu ini termasuk turut membincangkan berkenaan mereka yang positif tidak bergejala, tetapi menjadi serius dalam tempoh singkat.

—————————————————————————————————————————————————————————————————————HAMPIR dua tahun penularan pandemik Covid-19 melanda dunia dan ia memberi kesan yang amat besar sehingga mengubah norma-norma kehidupan manusia sejagat.
Malaysia sendiri tidak terlepas daripada musibah itu dan jumlah kes penularan pandemik Covid-19 telah melebihi satu juta.

Jumlah kes positif harian tertinggi pula telah melebihi angka 17,000 pada minggu lalu dan keadaan ini amat membimbangkan semua pihak.

Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan kerajaan juga kelihatan tidak berhasil untuk mengurangkan jumlah jangkitan harian.

Pelbagai faktor dilihat mendorong kepada peningkatan jumlah kes penularan Covid-19 di negara ini sekarang.

Bagi membincangkan perkara ini secara lebih mendalam, wartawan Kosmo! Ahad, FARID AHMAD TARMIJI berkesempatan menemu bual Presiden Persatuan Pakar Perubatan Kesihatan Awam Malaysia (PPPKAM), Datuk Dr. Zainal Ariffin Omar.

KOSMO! AHAD:Pandemik Covid-19 di negara ini semakin ‘menggila’ dengan mencatatkan lebih 17,000 kes dan ratusan kematian pada minggu lalu. Adakah fenomena ini disebabkan jangkitan varian terkini seperti Delta dan sebagainya?

DR. ZAINAL ARRIFIN: Daripada pemerhatian dan unjuran pakar-pakar kesihatan awam, kes dan jangkitan dalam komuniti memang banyak. Dianggarkan dua hingga tiga kali ganda daripada yang dilaporkan.

Perkara ini dikaitkan dengan sebaran jangkitan daripada virus Covid-19 yang asal dan juga oleh jangkitan varian baharu terutamanya Delta yang telah dikesan di banyak negeri di Malaysia pada ketika ini.

Di samping itu, kenaikan kes juga disebabkan kurang pematuhan dalam prosedur operasi standard (SOP) oleh orang ramai dan liputan vaksinasi yang masih rendah.

Ramai dalam kalangan rakyat yang tidak berpuas hati dan bimbang memandangkan mereka sudah berkurung di rumah, tetapi kes positif semakin melonjak dari hari ke hari. Apa yang sebenarnya berlaku?

Sebagaimana yang kita semua sedia maklum, telah lebih setahun kita semua berhadapan dengan pandemik ini. Pelbagai tindakan diambil dan diperkenalkan pihak berkuasa seperti penetapan SOP tertentu dan juga PKP telah dilaksanakan.

Dalam hal ini, rakyat bukan sahaja letih dan bosan, tetapi mengalami kesan negatif kepada kehidupan sosial, ekonomi dan mental. Ini disebabkan, kes masih meningkat dari sehari ke sehari dan tidak nampak akan reda dalam masa terdekat.

Di samping itu, peningkatan kes ini ditambah dengan kemunculan kluster baharu dari tempat kerja, kilang dan kawasan penempatan sesak.

Dalam perkembangan sama, rakyat terpaksa berusaha keras untuk kelangsungan hidup dan berinteraksi dengan yang pihak lain. Jadi, ada ketikanya, SOP tidak dapat diamalkan dengan baik.

Di samping itu, kemudahan fasiliti kesihatan yang makin terbeban dengan kemasukan jumlah pesakit yang semakin ramai ketika ini menyebabkan pesakit Covid-19 dan penghidap penyakit lain tidak mendapat rawatan sempurna.

Justeru, pesakit Covid-19 cepat bertukar dari kurang serius iaitu kategori satu dan dua kepada serius iaitu kategori tiga, empat dan lima dalam waktu singkat. Akibatnya, keadaan mereka menjadi teruk apabila ada yang tak sempat untuk di bawa ke hospital menyebabkan mereka mati dan brought in dead ke hospital.

Kes kematian yang agak tinggi akibat pandemik Covid-19 ketika ini agak membimbangkan. Adakah ini disebabkan rakyat sudah tidak mengikut SOP, terutamanya mereka yang berisiko tinggi seperti yang ada penyakit kronik dan sebagainya. Dalam hal ini, apakah yang rakyat boleh lakukan bagi mengurangkan kes-kes kematian?

Sebagaimana yang kita semua maklum, kes kematian termasuk brought in dead memang tinggi pada masa ini.

Walaupun secara keseluruhan, kadar kematian masih rendah, tetapi keadaan ini amat membimbangkan.

Antara sebab berlaku kematian yang agak tinggi adalah kes positif yang bertambah banyak, wujudnya varian Delta baharu yang lebih ganas serta pesakit lewat dibawa ke hospital untuk menerima rawatan lanjut.

Di samping itu, kematian banyak melibatkan golongan warga emas dan mereka yang menghidap penyakit kronik dan risiko seperti darah tinggi, diabetes, kanser dan obesiti.

Golongan muda dan tidak berisiko juga bertambah kerana sebab-sebab di atas.
Jadi, rakyat hendaklah sentiasa mematuhi SOP, mengelakkan aktiviti berisiko, mengambil vaksin dan mendapatkan rawatan segera apabila sakit dan bergejala.

MENURUT Dr. Zainal Ariffin, keadaan pesakit tahap satu atau dua boleh bertukar serius apabila virus dalam badan pesakit bertambah dan menyerang sistem pernafasan mereka.

Keadaan semasa di hospital kerajaan pada masa ini semakin sesak hingga tempat letak kenderaan pun dijadikan wad, selain penggunaan katil terutamanya di Unit Rawatan Rapi (ICU) pada kapasiti penuh. Jika dahulu, situasi ini kita lihat berlaku di beberapa negara ramai penduduk seperti India. Adakah ia satu perkembangan yang menakutkan?

Kita dapati beberapa hospital dan klinik kerajaan terutama di Lembah Klang mengalami kesesakan.

Ini disebabkan bilangan kes yang semakin bertambah, fasiliti tersebut mempunyai ruang yang agak terhad bagi menampung jumlah penduduk yang ramai.

Keadaan ini ditambah lagi dengan bilangan pesakit bukan Covid-19 yang pada masa biasa pun memang telah sedia ramai.

Terdapat mereka yang positif Covid-19 pada mulanya tidak mengalami apa-apa perubahan dan kelihatan sihat, tetapi selepas dibawa ke hospital berada pada tahap membimbangkan dan terpaksa menerima bantuan pernafasan. Apa yang sebenarnya berlaku kepada mereka?

Ramai pesakit pada permulaannya tiada gejala atau di tahap tidak serius iaitu kategori satu dan dua.

Tetapi apabila virus di dalam badan pesakit bertambah serta mula menyerang sistem pernafasan, keadaan mereka menjadi lebih serius.

Pada ketika itu, pesakit berubah kepada kategori tiga, empat dan lima.
Risiko kematian juga tinggi apabila berada di tahap empat dan lima disebabkan sukar bernafas dan kekurangan oksigen.

Jika lewat diberi rawatan, keadaan menjadi parah dan memerlukan rawatan lanjut seperti bantuan oksigen dan bantuan alat pernafasan dan ICU.

Ada juga pesakit positif Covid-19 diminta melakukan kuarantin kendiri di rumah kerana tidak bergejala dan berisiko, tetapi meninggal dunia selepas beberapa hari. Boleh jelaskan tentang keadaan ini?

Biasanya pesakit yang tidak bergejala, kategori satu dan dua tidak perlu di masukkan ke hospital dan mereka diminta melakukan kuarantin dan pemantauan di rumah atau di Pusat Kuarantin Risiko Rendah Covid-19 (PKRC).

Pesakit dan ahli keluarga diminta untuk membuat pemantauan sendiri berpandukan nasihat dan bimbingan daripada kakitangan kesihatan.

Dalam keadaan ini, mereka harus menghubungi fasiliti kesihatan jika ada masalah atau keadaan pesakit menjadi serius.

Ada juga kes lewat dibawa ke hospital membawa kepada kematian.

Ini kerana, pesakit atau keluarga kurang memahami gejala yang serius, lewat menghubungi fasiliti atau lambat mendapatkan ambulans untuk ke hospital.

JUMLAH kematian harian yang tinggi akibat Covid-19 di Malaysia kini semakin membimbangkan. – GAMBAR HIASAN

Bagi pihak kerajaan pula, apakah yang sepatutnya mereka lakukan bagi membantu mengurangkan kes positif, selain memastikan keadaan hospital berada pada tahap tidak seperti sekarang?

Kerajaan perlu terus melasanakan PKP bersasar, pemantauan kepatuhan SOP yang tegas, ujian saringan dalam komuniti, pengesanan kontak secara berkesan, isolasi dan kuarantin bagi pesakit dan kontak rapat, selain meningkatkan liputan vaksin seramai dan secepat mungkin kepada semua golongan layak.

Ini termasuk penduduk bukan warga negara dan penduduk tanpa dokumen sah.
Di samping itu, kerajaan mesti meningkatkan kesedaran, kemahiran dan amalan mengenai pengurusan penyakit Covid-19 ini kepada komuniti.

Kerajaan juga harus mewujudkan sistem sokongan kepada pesakit, keluarga dan komuniti seperti bahan panduan dan aplikasi digital yang mudah, pemberian ujian saringan dan alat pemantauan oksigen percuma.

Komuniti juga mesti memainkan peranan bukan sahaja membantu pesakit dan keluarga, tetapi juga dalam pemantauan pematuhan SOP, pengesanan kontak, mengenal pasti dan melaporkan jika wujud kes dan kluster disyaki.

Program penglibatan, pemerkasaan dan mobilisasi komuniti hendaklah ditingkatkan serta diberi sokongan dan bantuan moral, material termasuk bantuan kewangan yang bersesuaian.

Insya-Allah, kita semua dapat keluar daripada pandemik Covid-19 yang melanda dengan lebih cepat dan cemerlang.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN