fbpx

Pernas buka peluang francais buat wanita, belia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Golongan wanita dan belia yang bercita-cita memulakan perniagaan francais ditawarkan peluang keemasan untuk menjadi usahawan menerusi projek Be Your Own Boss (BYOB), iaitu program keusahawanan holistik oleh Perbadanan Nasional Berhad (Pernas), agensi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC).

BYOB menawarkan latihan berstruktur selama 20 hari, padanan perniagaan bersama francaisor dan pra-francaisor, bimbingan, bantuan pembiayaan dan pemantauan selama enam bulan selepas memulakan perniagaan bagi memastikan kejayaan peserta dalam bidang keusahawanan serta francais.

Sejak diperkenalkan pada Mac lalu, BYOB telah menarik pendaftaran 373 wanita dan belia, yang mana seramai 150 peserta telah pun menamatkan latihan, manakala 123 peserta sudah mendapat padanan perniagaan daripada francaisor dan pra-francaisor daripada pelbagai sektor seperti makanan & minuman, peruncitan, perkhidmatan serta pendidikan.

Mohd. Hilaluddin

Ketua Pegawai Eksekutif Pernas, Mohd. Hilaluddin Abd. Shukor berkata, BYOB menawarkan program keusahawanan menyeluruh yang menyasarkan golongan wanita menerusi program Successful Women Entrepreneurship Engagement Talents (SWEET) dan belia di bawah Young Entrepreneurship Engagement Talents (YOUNITY).

Jelasnya, peserta program berpeluang untuk memilih daripada 38 syarikat jenama francais dan 50 syarikat pra-francais yang telah berdaftar di bawah projek BYOB dengan tawaran saiz pakej perniagaan bermula RM7,500 hingga RM800,000.

“Pernas menawarkan saiz pembiayaan sehingga 90 peratus bergantung kepada pakej perniagaan.

“Ia tidak terhad kepada jenama-jenama francais sedia ada, malah para peserta boleh memilih untuk memulakan perniagaan pakej francais mampu milik melalui jenama pra-francais di bawah Program Business In Transformation (BIT).

“Melalui BYOB, Pernas berhasrat melahirkan lebih ramai usahawan dari golongan belia, wanita dan siswazah dengan sasaran melahirkan 1,000 usahawan francaisi dan pra-francaisi setahun,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut Mohd. Hilaluddin, program latihan selama 20 hari dilaksanakan secara dalam talian, meliputi modul latihan termasuk:

  1. Transformasi Minda (3 Hari)
  2. Asas Keusahawanan (2 Hari)
  3. Keusahawanan-Kewangan (2 Hari)
  4. Keusahawanan Rancangan Perniagaan (2 Hari)
  5. Teknologi (1 Hari)
  6. Keusahawanan Francais (6 Hari)
  7. Pendigitalan (4 hari)

Tambahnya, Pernas yang juga merupakan salah satu agensi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) menyasarkan mewujudkan 3,600 peluang pekerjaan tahun ini dan 18,000 peluang pekerjaan dalam tempoh lima tahun.

“Saya berharap projek BYOB ini mampu mewujudkan peluang pekerjaan baharu, menjana pendapatan dan meningkatkan pendapatan isi rumah.

“Usaha ini seterusnya diharap mengurangkan kadar pengangguran dan mendokong hasrat kerajaan untuk menjadikan keusahawanan sebagai kerjaya pilihan,” katanya.

Orang ramai yang berminat boleh #caripernas di sini atau berdaftar di www.pernas.my.

Maklumat lanjut mengenai BYOB boleh didapati di talian 1800 22 1767, laman media sosial Pernas (Facebook dan Instagram @pernasofficial) atau imbas kod QR BYOB.

 

Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:

MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 011-19598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI