fbpx
Tangkap layar rakaman video temu bual gelandangan warga emas yang dikenali sebagai Pak Cik Abdul Hadi tular di media sosial, hari ini.

Pak cik gelandangan tidak kecil hati

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA – Gelandangan warga emas yang dikenali sebagai Pak Cik Abdul Hadi mengakui dia tidak berkecil hati dengan tindakan seorang usahawan yang disifatkan telah memalukan dirinya pada Selasa lalu.

Abdul Hadi menerusi sebuah klip video turut mengucapkan terima kasih kepada netizen yang membela dan memberi sokongan kepada dirinya.

“Terima kasih banyak-banyak. Saya tidak boleh balas. Saya hanya serah kepada Tuhan. Memang dia betul. Bukan Tuhan mengubah nasib kita. Tapi kita sendiri ubah,” ujarnya menerusi temu bual yang dimuat naik di aplikasi TikTok Bernama TV hari ini.

Apabila Abdul Hadi diberitahu dia sudah menjadi terkenal di media sosial lelaki tersebut berkata, itu terserah kepada Tuhan dan apa yang berlaku adalah kuasa Tuhan.

“Tiada (kecil hati). Ikhlas dia cakap. Betul kata dia. Pak cik tidak kecil hati,” ujarnya.

Hantaran tersebut ditonton lebih 35,000 kali dan dibanjiri ratusan komen dengan rata-rata netizen berasa terharu dengan ketulusan hati warga emas itu.

“Pak cik itu tidak mahu keruhkan lagi keadaan. Mungkin dia terasa hati tapi dia pendamkan saja. Mulianya hati pak cik. Dengar suaranya sudah tahu dia berasa sebak,” komen Nekchik.

“Mulut memang cakap okey. Tetapi dalam hati siapa yang tahu. Aku tetap bangkang apa yang dilakukan orang itu terhadap pak cik ini,” ujar Azrul.

Terdahulu, usahawan dan pesohor media sosial, Carl Samsudin telah menyatakan permohonan maaf melalui laman Instagram miliknya berikutan insiden tersebut hari ini. – K! ONLINE

Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:

MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 011-19598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929